HomeUtamaOperasi pembenihan awan di Sabah mula dilaksanakan di tiga daerah

Operasi pembenihan awan di Sabah mula dilaksanakan di tiga daerah

Read Time:1 Minute, 47 Second

Kota Kinabalu : Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Sabah yang mula dilaksanakan selama tiga hari bermula hari ini menyasarkan tiga daerah yang terjejas dengan kemarau

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, antara daerah terlibat adalah di Papar, Lahad Datu dan Tawau.

Katanya, pelaksanaan OPA ini dibuat bagi mendapatkan sumber air yang mencukupi di kawasan tadahan hujan sepanjang tempoh negara berhadapan dengan cuaca panas.

“Kemarau yang berlarutan sejak Februari lalu menyebabkan seramai 58,080 ketua isi rumah (KIR) dari 355 kampung di 12 daerah di Sabah berdepan masalah kekurangan bekalan air.

“NADMA juga memperuntukkan sebanyak RM7.5 juta bagi menampung kos penghantaran bekalan air dengan kerjasama NADMA,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Operasi itu dijalankan selama tiga hari mulai hari ini sehingga Sabtu dengan kerjasama Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Bahagian Bekalan Air Labuan setelah NADMA menerima permohonan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah.

Bagi melaksanakan OPA itu, pesawat C-130 Hercules milik TUDM berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Labuan dengan membawa empat tangki air yang mengandungi campuran 800 kilogram garam dan 6,000 liter air yang disediakan oleh pihak MetMalaysia.

Khairul berkata, pihaknya turut menggalakkan agar Kerajaan negeri yang memerlukan bantuan bagi menjalankan operasi ini agar mengemukakan cadangan kepada pihak NADMA untuk dibuat penilaian.

Katanya, kesesuaian lokasi dan ramalan keadaan atmosfera di kawasan cadangan perlu dikaji terlebih dahulu oleh MetMalaysia bagi menjamin kejayaan OPA.

Menurutnya, kejayaan OPA bergantung kepada keadaan atmosfera yang sesuai seperti kelembapan yang tinggi, kehadiran awan kumulus dan kelajuan angin yang lemah.

“Faktor-faktor ini membolehkan penghasilan hujan yang tepat di kawasan sasaran.  Impak fenomena cuaca panas dan kering semasa peralihan Monsun Timur Laut turut melibatkan beberapa kawasan di Sabah.

“Sehingga 26 Mac lalu, sebanyak 1,392 kes kebakaran hutan dan belukar dilaporkan di seluruh negeri, memusnahkan kawasan seluas kira-kira 3,800 hektar, termasuk 3.4 hektar kebakaran di tapak pelupusan sampah Kayu Madang, Telipok.

“Semoga usaha bersepadu yang dilaksanakan ini boleh membantu dalam meningkatkan kapasiti air di kawasan tadahan hujan dan seterusnya menjamin bekalan air dapat disalurkan kepada pengguna tanpa sebarang gangguan,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO NADMA

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : SDB agresif dalam usaha struktur, pulihkan hutang lapuk

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya