KUALA PENYU: Penduduk gempar apabila melihat ribuan obor-obor (jelly fish) terdampar di pesisir pantai Kampung Jangkit, Kuala Penyu, semalam.
Pengarah Jabatan Perikanan Sabah Azhar Kasim berkata, jabatannya telah menghantar anggota dari pejabat Kuala penyu ke tempat lokasi kejadian untuk memantau dan menyiasat damparan obor-obor yang begitu luar biasa dan padat.
“Lokasi damparan di sepanjang lebih kurang 3 kilometer di persisir pantai Kampung Jangkit.
“Menurut penduduk, pertama kali berlaku damparan obor-obor begitu banyak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Azhar, jabatannya telah mengenal pasti jenis obor-obor yang terdampar itu dikenali ‘tomato jellyfish’ atau nama saintifik Lobonemoides Robustus.
“Obor-obor jenis ini bukan jenis yang berbisa atau merbahaya tetapi boleh memberi kesan gatal pada badan apabila tersentuh kulit,” jelasnya.
Tambah beliau, menurut sumber penelitian mendapati kepadatan populasi obor-obor luar biasa berlaku kerana meningkatnya kadar pembiakan obor-obor oleh peningkatan suhu perairan laut.
“Ianya juga berkait rapat dengan kewujudan sumber makanan seperti zooplankton, crustacea kecil, anak ikan dan sebagainya di laut.
“Kejadian turut dipengaruhi oleh faktor air pasang dan air surut yang mendadak menyebabkan obor-obor secara mendadak terperangkap dan terdampar di pantai,” jelasnya.
Sehubungan dengan itu, beliau turut menasihatkan orang awam agar tidak terlalu risau kerana obor-obor jenis fragile iaitu mudah mati dan hancur hanya akan mengakibatkan bau yang tidak selesa. Ianya akan cepat hilang dalam tempoh satu hingga dua hari.
“Elakan mandi laut di kawasan perairan yang didapati terdapat populasi obor-obor tinggi,” tegasnya.