Tuaran : Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) digesa untuk bekerjasama dengan agensi strategik kerajaan seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) dan pihak swasta untuk membangunkan sumber ekonomi baharu di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sudah tiba masanya Sabah tidak lagi bergantung kepada sumber ekonomi sedia ada seperti kelapa sawit, minyak dan gas serta getah untuk mempelbagaikan sumber ekonomi.
“Kita mesti berupaya melakukan lonjakan paradigma dalam proses pembangunan sosio-ekonomi negeri.
“Kita juga harus mengambil manfaat sepenuhnya daripada aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan mesyuarat SEDIA di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah di Lok Batik di sini semalam.
Hajiji yang juga pengerusi SEDIA berkata berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), ekspot utama negeri Sabah pada tahun 2022 ialah minyak kelapa sawit berjumlah RM21.1 billion; manakala Gas Asli Cecair atau LNG, RM5.2 billion; petroleum mentah RM30 billion; dan minyak isirung sawit RM3.1 billion, sementara barangan ekspot yang lain yang merangkumi pelbagai barangan sama ada yang mentah atau yang diproses bernilai RM3.5 billion.
“Ini membuktikan bahawa kita perlu mengenal pasti pasaran yang lebih luas ke atas barangan ekspot bukan komoditi. Kita juga perlu meningkatkan pengeluaran barangan bukan komoditi yang berpotensi tinggi untuk diekspot,” katanya.
Beliau turut menyarankan agar pusat-pusat kajian dan penyelidikan di Sabah memainkan peranan dalam membangunkan pengetahuan, menggalakkan inovasi, pengeluaran produk-produk bernilai tinggi dan punya nilai untuk didagang dan pastinya ia boleh meningkatkan imbangan dagangan yang lebih menguntungkan bagi negeri ini.
“Terdapat lebih daripada 21 pusat kajian dan penyelidikan di negeri ini. Kita boleh menggunakan kajian mereka untuk membangunkan aktiviti hiliran Sabah.
“Saya juga berharap agar hasil kajian yang telah, akan atau sedang dijalankan oleh SEDIA dapat digunakan sepenuhnya oleh agensi kerajaan yang berkepentingan,” katanya.
Antara kajian-kajian tersebut ialah Pembangunan Semula Pelancongan di Mesilau; Pembangunan Semula Pusat Air Panas Poring, Ranau; SDC-Kajian Pembangunan Ekonomi di Sempadan Sabah; SDC-Kajian Pelan Induk Ekonomi dan Perancangan Perniagaan POIC Sandakan; SDC-Kajian Pelan Induk dan Pelan Perniagaan untuk Zon Ekonomi Bebas, Hab Logistik dan Depot Penyimpanan Sejuk di POIC Lahad Datu dan; Kajian Pelan Induk Lembah Makanan di Pedalaman Sabah.
“Saya mahu semua penemuan dan hasil dari kajian-kajian yang dilakukan dapat digunakan oleh banyak pihak bukan sahaja sebagai asas untuk mengesyorkan projek- projek pembangunan tetapi sebagai rujukan untuk pelabur-pelabur dari dalam dan luar negara,” katanya.
Selepas mesyuarat, Ketua Menteri berbuka puasa dengan ahli lembaga SEDIA, ketua- ketua masyarakat serta ketua-ketua masjid dan surau di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah. – SABAH MEDIA / FOTO JKM