HomeIsu tempatanUMS, IDS kerjasama kaji tren politik belia Undi-18 di Sabah

UMS, IDS kerjasama kaji tren politik belia Undi-18 di Sabah

Read Time:2 Minute, 16 Second

Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus mengembangkan peranan sebagai sebuah pusat kajian ilmu dengan memeterai perjanjian penyelidikan (RA) bersama Institute of Development Studies (IDS) Sabah.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly, berkata, RA itu melibatkan penyelidikan bertajuk ‘Kajian Dinamika, Persepsi dan Aspirasi Politik Belia Undi-18 Sabah’ yang akan dijalankan oleh para penyelidik Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) bersama Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UMS.

Katanya, penyelidikan yang dibiaya oleh IDS tersebut akan meneroka, mengenal pasti dan memahami dinamika, persepsi dan aspirasi politik yang cenderung mempengaruhi trend, corak dan pola pengundian belia ‘UNDI18’ di Sabah.

“Keadaan ini berikutan pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia pada 16 Julai 2019 yang mengangkat “Undi18” iaitu kempen pemerkasaan amalan demokrasi melalui keterangkuman penglibatan politik dalam kalangan belia telah berjaya melayakkan belia berumur 18 tahun ke atas untuk mengundi dan menjadi calon dalam pilihan raya.

“Pindaan terbabit membawa kepada penurunan umur hak mengundi sekali gus mencetus pelbagai pandangan dan persoalan tentang dinamika, persepsi dan aspirasi politik yang mempengaruhi kecenderungan, kiblat, pilihan dan keputusan politik yang bakal mewarnai trend serta pola pengundian golongan ini.

“Oleh itu, kajian ini dicadangkan akan menilai trend terkini sekali gus membantu IDS selaku think tanker Kerajaan Negeri Sabah menelusuri aspek-aspek ini kelak berdasarkan data-data yang diperoleh di bahagian Pantai Barat, Kudat, Sandakan, Tawau dan pedalaman negeri Sabah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penyelidik IDS, Richard T. Koh berkata kerjasama pihaknya dengan UMS memberi manfaat besar kepada pembangunan negeri Sabah.

Katanya, sebagai badan pemikir negeri, IDS berazam memastikan dasar-dasar yang dibentuk mengambil kira kepentingan terbaik negeri serta komuniti dan ekonomi rakyat.

“Kerjasama kukuh antara IDS dan UMS telah membawa kejayaan yang signifikan dalam penyelidikan dan pembangunan di Sabah. Kedua-dua entiti ini berkongsi komitmen yang sama dalam memajukan ilmu pengetahuan dan memberikan impak positif kepada masyarakat Sabah.

“Bagi kami di IDS, kerjasama dengan UMS bukanlah sekadar kerjasama biasa. Ia merupakan hubungan strategik yang memberikan peluang besar bagi kami untuk terus berkongsi ilmu pengetahuan, pengalaman, dan sumber untuk memajukan Sabah ke tahap yang lebih tinggi.

“Dengan penandatanganan perjanjian baru ini, kami berharap untuk melihat lebih banyak inisiatif penyelidikan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, serta kepada masyarakat Sabah secara keseluruhannya,” ujarnya.

Pada majlis menandatangani perjanjian penyelidikan itu, Rosalam dan Richard masing-masing mewakili UMS dan IDS sambil disaksikan oleh Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan UMS, Profesor Dr. Jumat Sulaiman dan Pegawai Pengurusan Projek IDS, Victor Sikain.

IDS telah membiaya beberapa projek dan kolaborasi bersama UMS antaranya Kajian Pemetaan Inovasi Akar Umbi di Sabah; Kajian Understanding Sulu Claims on Sabah; Long Pasia Decelopment – Megalithic Stone Heritage Trail Mapping for Tourism using GIS; serta AI Strategy for Sabah: Adoption Opportunities and Challenges, Policy Framework.  – SABAH MEDIA / FOTO UMS

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Lebih 2,000 pengunjung imarahkan Konvensyen Al-Quran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya