Kota Kinabalu : Tiga telaga tiub yang dibina bagi mengatasi kekurangan bekalan air di kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah siap sepenuhnya bagi kegunaan warga kampus induk UMS.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata, enam lagi telaga tiub kini dalam proses pemasangan tangki dan sistem penapisan air disusuli kerja perpaipan bagi menyalurkan air ke kolej kediaman penuntut.
“Saya dimaklumkan ada tiga yang sudah siap sepenuhnya dan yang lain kita jangka dalam masa terdekat, jadi kita harap ini akan dapat menyelesaikan isu bekalan air di UMS.
“Manakala enam lagi telaga tiub juga telah siap digerudi dan kini hanya dalam proses pemasangan tangki dan sistem penapisan air disusuli kerja perpaipan bagi menyalurkan air ke kolej kediaman penuntut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Program Ihya Ramadan bersama warga Politeknik Kota Kinabalu (PKK) di sini semalam.
Mustapha diminta mengulas perkembangan projek telaga tiub itu yang dimulakan pada Januari lalu selepas pelajar UMS mengadu menghadapi kesukaran menjalani rutin harian hingga tidak mandi berhari-hari disebabkan bekalan air yang terhad dari Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).
Beliau mengakui projek berkenaan sedikit tertangguh namun akan memastikan projek berkenaan dalam masa terdekat.
Enam telaga tiub yang dibina di UMS itu adalah dibiayai dengan dana RM3 juta yang diumumkan Perdana Menteri.
Manakala dua lagi telaga tiub tambahan dibina menggunakan peruntukan Kementerian Pendidikan Tinggi, selain satu sudah siap atas inisiatif UMS sendiri, menjadikan sembilan telaga tiub apabila siap sepenuhnya.
JANS sebelum ini berdepan kesukaran untuk menyalurkan air yang mencukupi di kampus UMS disebabkan kapasiti air dari Loji Rawatan Air (LRA) Telibong di Tuaran berada pada di bawah kadar permintaan.
Namun, difahamkan situasi itu bertambah baik dengan siapnya LRA Telibong 2 Fasa Dua pada akhir tahun lalu, disusuli penyiapan kerja penyambungan paip pada bulan lalu. – SABAH MEDIA / FOTO PKK