HomeUtamaDemi kasih sayang adik, kakak sanggup masuk penjara

Demi kasih sayang adik, kakak sanggup masuk penjara

Read Time:4 Minute, 5 Second

Oleh NORMIMIE.DIUN

KOTA KINABALU: Gara-gara ingin melihat adik perempuan di penjara, kakak sanggup masuk penjara dengan cara menjerumuskan diri ke dalam kancah penyalahgunaan dadah.

Angah (bukan nama sebenar) berusia 40 tahun seorang pesara penjawat awam dimasukkan ke Penjara Wanita Kota Kinabalu atas kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Hampir empat bulan di sini, banyak pengalaman dan pengajaran yang saya perolehi dari sini.

“Saya dimasukkan pada bulan Disember 2023, saya diserahkan oleh bapa saya sendiri kepada pihak polis semasa saya sedang tidur di rumah.

“Sebenarnya saya dengan sengaja mengambil dadah kerana saya berniat mahu melihat sendiri adik saya yang kini menjalani tahanan reman sejak dua tahun lalu di Penjara Wanita Kota Kinabalu atas kesalahan penyalahgunaan dadah juga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti) sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun 2024 di Penjara Pusat Kota Kinabalu, hari ini.

Angah berkata, dia sanggup masuk penjara untuk bertemu adiknya kerana kasih sayangnya terhadap adiknya yang sudah lama tidak berjumpa disebabkan sebelum ini dia bekerja di Semenanjung.

“Adik perempuan saya kini berusia 28 tahun dan kini menunggu hukuman mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya.

“Saya bekerja di Semenanjung sejak tahun 2013, saya baru tamat perkhidmatan tahun lepas dan bila kembali ke Sabah baharu lah keluarga saya beritahu adik saya telah dimasukkan ke penjara ini.

“Saya sangat sedih kerana baru diberitahu mengenai perkara itu, jadi saya nekad mengambil dadah dengan niat untuk masuk ke penjara dan dapat berjumpa dengan lebih dekat adik saya yang berada di dalam penjara,” katanya.

Tidak dinafikan, Angah berkata, ramai yang mengatakan dia tidak bijak dalam melakukan tindakan sedemikian.

“Saya pesara penjawat awam. Tidak dinafikan, ramai yang menyatakan saya bodoh mengambil dadah hanya kerana semata-mata untuk berjumpa adik perempuan saya yang berada dalam penjara.

“Tapi saya tahu matlamat saya berada di sini, saya tahu tindakan saya salah, saya berpuas hati dapat berjumpa dengan adik saya dan sempat memberikan kata-kata semangat untuk dia bahawa saya sanggup dipenjarakan dan ini menunjukkan masih ada keluarga yang sayang kepadanya agar dia sedar dan tidak melakukan kes berulang lagi dalam penyalahgunaan dadah.

“Saya juga turut memberikan kata-kata semangat kepada adik saya supaya dia terus berubah dan menjadi manusia yang berguna demi anak yang ditinggalkannya.

“Saya juga sedar punca adik saya jadi begitu kerana sejak arwah ibu saya meninggal, bapa saya berkahwin baharu, jadi adik saya yang juga adik bongsu kami ini merasakan kurang mendapat perhatian dan kasih sayang,” jelasnya.

Namun demikian, Angah gembira kerana dilepaskan seawalnya dari tempoh tujuh bulan dipendekkan hampir empat bulan atas sebab dia berkelakuan baik semasa berada di dalam penjara.

“Saya gembira dilepaskan lebih awal dari tarikh sepatutnya dan saya dapat meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga di luar sana,” katanya.

Selain itu, sebaik sahaja Angah keluar dari penjara, dia telah diambil bekerja di salah sebuah syarikat di sini dan ini meyakinkan lagi penerimaan masyarakat terhadap Orang Bebas Berlesen (OBB).

“Alhamdulillah, saya diterima bekerja di sebuah syarikat di sini selepas keluar dari sini hari ini.

“Ini menunjukkan masih ada masyarakat yang sedar akan keupayaan orang-orang seperti kami juga boleh berubah dan lebih produktif,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Penjara Negeri Sabah Dan Wilayah Persekutuan Labuan, Nora Musa berkata, Jabatan Penjara Malaysia hari ini melaksanakan pelepasan OBB secara serentak di seluruh institusi Penjara Malaysia sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri tiba.

“Di seluruh Sabah, seramai 142 orang OBB dilepaskan bersempena Program PBSL Ihsan Madan (Kepulangan Yang Dinanti) sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun 2024 hari ini.

“OBB yang terlibat program PBSL iaitu dari institusi Penjara Pusat Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Lahad Datu, Penjara Wanita Kota Kinabalu dan Sekolah Henry Gurney Keningau,” katanya.

Teks ucapan beliau dibaca Ketua Bahagian Kepenjaraan & Koreksional, Penjara Negeri Sabah & W.P Labuan, Penguasa Penjara, Roy Ak Martin.

Beliau berkata, e-Kumulatif PBSL pada tahun 2020- Disember 2023 sebanyak 11589 telah diluluskan iaitu bersamaan 98.14% bagi pencalonan banduan hukuman 1 tahun ke bawah manakala pencalonan banduan hukuman 1-3 tahun 3549 bersamaan 98.83%.

” Antara kejayaan pada tahun 2023 adalah seperti pengurangan kadar residivis penghuni yang mengikuti Program Pemulihan di luar tembok (dalam komuniti) yang hanya sebanyak 0.24% berbanding tahun 2022.

“Sementara itu, bagi penghuni yang hanya menjalani pemulihan di dalam fasiliti sahaja, kadar residivisnya berada pada tahap 17.6% berbanding 18.6% pada tahun 2022,” katanya.

Selain daripada itu, katanya, kesesakan di penjara berjaya dikurangkan daripada 13.7% pada tahun 2022 kepada 7.8% pada tahun 2023 menerusi usaha perluasan perlaksanaan pemulihan dalam komuniti sebanyak dua kali ganda menerusi Sistem Parol.

“Program Corporate Smart Internship (CSI), PBSL melibatkan majikan serta pembukaan baharu Pusat Koreksional Komuniti, Stesen Parol Daerah dan juga Penjara Lahad Datu,” ujarnya.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) N25 Kepayan Datuk jannie Lasimbang, Timbalan Pengarah Penjara Pusat Kota Kinabalu, Penguasa Penjara Jaini Ayong Rajawa, Timbalan Pengarah Penjara Wanita Kota Kinabalu, Penguasa Penjara Rosliza Ishak dan Pegawai-pegawai Kanan Jabatan Penjara Malaysia.

RELATED ARTICLES
Utama

Umat Islam dinasihatkan tunai zakat tanpa kerisauan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular