Kota Kinabalu: Lebih 20,000 tetamu dijangka akan menghadiri sambutan Hari Raya Aidilfitri Madani Peringkat Nasional akan diadakan pada 20 April ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Malaysia Datuk Azman Mohd Yusof berkata, sambutan dengan kerjasama Kerajaan negeri itu akan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sambutan Hari Raya Peringkat Nasional ini telah ditetapkan pihak kerajaan pada 20 April dengan kehadiran dijangkakan seramai 20,000 orang.
“Program kali ini adalah dianjurkan secara bersama dengan pihak kerajaan negeri dan kami telah berbincang dalam pelbagai aspek termasuk menyediakan tempat yang sesuai untuk mengadakan jamuan raya ini, iaitu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Tun Juhar Mahiruddin dan Toh Puan Norlidah Tan Sri R.M Jasni di Istana Seri Kinabalu.
Azman berkata, majlis sambutan itu akan bermula seawal jam 10 pagi dan dijangka tamat pada jam 3 petang.
Katanya, Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor juga akan turut hadir pada majlis itu bagi bertemu dengan masyarakat yang hadir.
“Dijangka lebih 50 menu akan dihidangkan pada hari tersebut dan semua juadah itu merupakan juadah yang popular dan mewakili makanan semua jenis kaum termasuk warga Sabah.
“Dalam masa yang sama kita juga ada membuat sedikit pameran yang bernama Rumah Kami yang tujuannya kita mempamerkan kebudayaan masyarakat Malaysia dengan kepelbagaian kaum,” katanya
Turut hadir dalam rombongan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah (Pentadbiran) Datuk Diyana Abdullah.
Terdahulu, Tun Juhar menerima kunjungan hormat rombongan Kesatuan Pembantu Kesihatan Awam Sabah yang diketuai presidennya Hilmi Satoh.