HomeUtamaRumah Mesra SMJ terus dilaksana selagi Kerajaan GRS memerintah - Dr Joachim

Rumah Mesra SMJ terus dilaksana selagi Kerajaan GRS memerintah – Dr Joachim

Read Time:2 Minute, 5 Second

RANAU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah melaksanakan pelbagai usaha untuk membantu rakyat miskin termasuk membina Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk rakyat yang memerlukan.

Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, selagi Kerajaan Negeri GRS memerintah, program Rumah Mesra SMJ ini akan diteruskan demi membantu rakyat yang memerlukan.

“Setiap DUN akan diperuntukkan 20 buah Rumah Mesra SMJ dan rumah yang telah siap ini merupakan rumah yang dibina sejak 2022 lagi,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang itu pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mesra SMJ di Kampung Merungin 2, kelmarin (12 April).

Turut hadir, Pegawai Daerah Ranau, Tinus Saiman, Pegawai Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Kundasang, Dounis Sani, Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri, Yubidi Gompoyo; dan kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN Kundasang.

Dr. Joachim berkata, Kerajaan Negeri telah menetapkan bahawa mana-mana kontraktor yang melengah-lengahkan pembinaan Rumah Mesra SMJ akan disenaraihitamkan (blacklisted).

“Kerajaan tidak mahu rumah-rumah ini lewat disiapkan. Terdapat kontraktor yang melengah-lengahkannya, maka mereka itulah yang akan disenaraihitamkan.

“Kita akan melihat punca kelewatan pembinaan rumah sama ada kerana cuaca atau jarak lokasi jauh dan mereka (kontraktor) juga akan diberikan elaun khas,” katanya ketika ditemui media pada majlis tersebut.

Dr. Joachim turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memilih Ranau sebagai hos kepada pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri bagi tahun 2024.

Pelancaran Pesta Kaamatan di Ranau akan diadakan pada 1 Mei 2024.

Beliau berkata, jawatankuasa pelaksana yang diketuai oleh Pegawai Daerah Ranau sebagai Pengerusi mengadakan mesyuarat setiap minggu sebagai persediaan pelancaran pesta tersebut.

Selain itu, semua agensi-agensi kerajaan dan persatuan etnik seperti Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), Persatuan Dusun Sabah Bersatu (USDA) dan beberapa lagi persatuan etnik di Ranau dilibatkan secara langsung dalam pelancaran Pesta Kaamatan ini.

“Pelancaran Pesta Kaamatan akan diadakan di Dewan Masyarakat Ranau manakala bagi aktiviti lain seperti sukan rakyat akan diadakan di tapak tamu pekan Ranau.

“Sepatutnya, pelancaran diadakan secara besar-besaran dan kita bersedia menggunakan lapangan terbang lama tetapi, setelah berbincang dan berdasarkan keadaan kini di mana semua harga barang meningkat dan rakyat mengadu kos sara hidup turut meningkat, maka kita telah mengambil pendekatan sederhana.

“Sebagai mewakili Pengerusi Pelaksana dan semua wakil rakyat daerah Ranau saya menjemput seluruh rakyat di Sabah untuk hadir menyaksikan pelancaran Pesta Kaamatan yang akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya.

Selepas majlis penyerahan kunci Rumah SMJ itu, Dr. Joachim turut mengunjungi rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediaman Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun serta beberapa lagi rumah dalam DUN Kundasang.

RELATED ARTICLES
Utama

Seorang maut selepas penerbangan SIA hadapi gelora udara teruk

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular