TAWAU: Tujuh blok rumah pekerja musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran di Kilang Fu Yee, Jalan Brantian, Batu 42 di sini awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada jam 3.44 pagi (13 April) sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau bergegas ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi kejadian, mendapati sebanyak tujuh blok rumah pekerja jenis tidak kekal melibatkan satu blok (10 pintu) dan enam blok (20 pintu) musnah terbakar 100 peratus.
“Usaha pemadaman api dilakukan menggunakan sumber air daripada pili bomba berhampiran.
“Turut membantu memadam kebakaran itu iaitu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Felda. Tiada mangsa terlibat dilaporkan.
“Operasi terkawal pada jam 6.00 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.57 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.