KOTA MARUDU: Selain menjaga keselamatan lalu lintas, anggota polis trafik juga turut menghulurkan bantuan bagi mereka yang memerlukan bantuan ketika berada di jalan raya.
Tindakan dua anggota trafik Koperal Mohd Najib Hanif dan Koperal Nassir Deraup membantu seorang pemandu lelaki orang kurang upaya (OKU) (kecacatan kaki) Peery Jos yang mengalami kerosakan kereta di hadapan Petronas, Jalan Pekan Baru Kota Marudu dipuji netizen di laman media sosial facebook Polis Daerah Kota Marudu.
Anggota trafik tersebut menghulurkan bantuan kepada pemandu OKU tersebut sekitar jam 3.00 petang semalam (13 April) semasa pasukan Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kota Marudu menjalankan penugasan Omnipresent dan OP Selamat 22/2024 sempena Hari Raya Aidilfitri di Pekan Baru Kota Marudu.
“Pasukan telah terjumpa sebuah kenderaan jenis Proton Wira yang dipandu seorang pemandu OKU mengalami masalah enjin tidak dapat dihidupkan di tengah jalan.
“Bagi membantu masalah tersebut, Kpl Mohd Najib dan Kpl Nassir telah membantu menolak kenderaan tersebut masuk ke kawasan parkir kenderaan berhampiran sementara menunggu bantuan dari rakannya.
“Setelah selesai, penugasan pun diteruskan. Syabas dan Tahniah kepada anggota Trafik Kota Marudu yang telah menghulurkan bantuan,” kata kenyataan yang dimuat naik dalam laman facebook berkenaan.
Setakat hari ini, posting mengenai bantuan itu telah mendapat 339 like, 38 komen dan 20 shares.