HomeUtamaKonflik Timur Tengah : Kerajaan Sabah sentiasa berhubung Wisma Putra, KPT dapatkan...

Konflik Timur Tengah : Kerajaan Sabah sentiasa berhubung Wisma Putra, KPT dapatkan maklumat terkini

Read Time:1 Minute, 39 Second

Kota Kinabalu : Kerajaan Sabah meminta agar ibu bapa dan keluarga pelajar yang kini sedang menuntut di Timur Tengah agar bertenang berikutan konflik yang berlaku pada ketika ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata,  Kerajaan menerusi Wisma Putra dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memantau keadaan pelajar Malaysia khususnya di Jordan dan Mesir.

“Kerajaan Negeri Sabah juga dari masa ke masa akan berhubung dengan pihak Wisma Putra dan KPT untuk mendapatkan maklumat terkini.

“Baru sebentar tadi saya berhubung dengan Timbalan Menteri Luar yang Ahli Parlimen Kimanis Datuk Mohamad Alamin berhubung perkara ini.

“Alhamdulillah menurut beliau KPT dan Wisma Putra sudah bersedia dengan apa-apa keadaan termasuk membawa balik anak-anak kita sekiranya keadaan memerlukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Arifin yang juga Exco Pendidikan Sabah berkata, pihaknya bersama Pengarah Yayasan Sabah Datuk Seri Ghulam Haidar sentiasa berhubung dengan wakil Sabah (Pengurus Kanan Pelajar Yayasan Sabah / Atase Pendidikan Sabah di Timur Tengah) yang menjaga pelajar Sabah di Mesir, Jordan dan Arab Saudi berhubung situasi semasa pelajar Sabah di tiga negara berkenaan.

Katanya, pengalaman bagi menyelaras dan memantau malah membuat penghantaran balik anak-anak Sabah ke tanah air ketika krisis politik yang berlaku di Mesir juga pernah dilaksanakan sebelum ini.

Untuk rekod setakat ini terdapat 248 pelajar Sabah yang sedang menuntut di Mesir, 79 di Jordan dan sembilan di Arab Saudi. 

“Mereka ini belajar di beberapa buah universiti dalam pelbagai jurusan dan mendapat biasiswa, dermasiswa dan ada juga yang belajar dengan biaya sendiri.

“Antara penaja mereka adalah Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah, Yayasan Sabah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan JPA.

“Sekali lagi saya berharap para ibu bapa dan keluarga bertenang. Berdoalah kita moga krisis yang tegang kembali tenang agar anak-anak kita yang berada di luar negara berada dalam keadaan baik, tenang dan selesa menjalani pengajian mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Arifin turut menyeru agar masyarakat terus mendoakan keselamatan dan kesejahteraan saudara-saudara di Palestin yang sedang menerima ujian. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Generasi muda perlu rebut peluang dalam industri pertanian – Amisah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya