Kota Kinabalu : Loji Rawatan Air (LRA) Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) Limbahau masih lagi ditutup sehingga kini berikutan kandungan klorida atau tahap kemasinan air di Sungai Papar masih tinggi.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, LRA Jetama yang terpaksa mengurangkan kapasiti pengeluaran daripada 13 juta liter sehari (MLD) kepada sembilan MLD sebelum ini telah menggunakan muka sauk kedua di Kabang.
Katanya, ia adalah bagi membolehkan LRA Jetama berkenaan terus beroperasi.
“Maklumat yang saya terima setakat pagi tadi, kandungan klorida masih tinggi, jadi LRA EWSS Limbahau masih dihentikan sementara operasinya.
“Cuma LRA dibawah Jetama, mereka menggunakan muka sauk kedua di Kabang, jadi loji itu masih operasi dan menyalurkan bekalan sembilan MLD berbanding 13 MLD,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Jentayu Sustainable di sini hari ini.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya berkata, LRA Kogopon kini beroperasi penuh dengan kapasiti pada 40 MLD.
“Jadi apabila Kogopon beroperasi penuh 40 MLD, kita ada dalam 49 MLD di Papar namun masih kurang 10 hingga 12 MLD bagi membekalkan air di Papar.
“Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) pada masa ini masih membuat agihan air melalui tangki air, tangki statik dan orang awam juga boleh ambil dari JANS,” katanya.
Sebelum ini, Shahelmey memaklumkan LRA EWSS Limbahau yang berkapasiti 10 juta liter sehari (MLD) itu terpaksa ditutup semula pada Aidilfitri kedua berikutan air Sungai Papar di muka sauknya kembali mencatat tahap kemasinan yang tinggi.
Berikutan itu, situasi dihadapi kira-kira 150,000 penduduknya kembali kritikal.