HomeUtamaPasangan suami isteri dera anak tiri, anak angkat dihukum penjara dan denda

Pasangan suami isteri dera anak tiri, anak angkat dihukum penjara dan denda

Read Time:1 Minute, 37 Second

KENINGAU: Mahkamah Majistret di sini pada Rabu (17 April) menjatuhkan hukuman penjara dan denda ke atas pasangan suami isteri yang mendera anak tiri dan anak angkat mereka antara 24 Mac sehingga 30 Mac lalu di sebuah bilik sewa di Pekan Keningau.

Tertuduh Norfaizah Boting, 36, dan suaminya, Kamal Abdullah 27, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Flavian Edward Henry.

Prosiding dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Euginie Meredith Gilbert manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Menurut fakta pertuduhan, Norfaizah berdepan tiga pertuduhan antara 24 Mac sehingga 30 Mac lalu di sebuah bilik sewa di Pekan Keningau dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki dan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dengan menggunakan alat seterika yang digunakan sebagai senjata untuk melakukan kesalahan yang mungkin menyebabkan kematian.

Tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua hukuman tersebut.

Selain itu, tertuduh pada tarikh dan di tempat yang sama juga turut dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap kanak-kanak tersebut.

Sementara itu, Kamal pula dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap kanak-kanak dan remaja yang sama pada tarikh dan di tempat yang sama.

Kedua-dua tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh membawa hukuman penjara sehingga satu tahun dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan dengan sabit kesalahan itu, Norfaizah dikenakan penjara selama empat tahun 10 bulan dan denda RM22,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dan jika gagal bayar boleh dikenakan penjara selama dua tahun enam bulan.

Manakala Kamal dipenjara selama satu tahun lapan bulan dan denda RM4,000 bagi dua pertuduhan dan jika gagal membayarnya boleh dikenakan setahun lagi penjara.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Keningau Superintenden Yampil Anak Garai berkata, kedua-dua mangsa kanak-kanak dan remaja tersebut kini telah ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di negeri ini.

RELATED ARTICLES
Utama

Letusan Gunung Ruang: MET Malaysia keluar Amaran Cuaca Penerbangan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya