HomeUtamaKanak-kanak warganegara Malaysia tanpa dokumen diseru sertai program SBJK - Fadhlina

Kanak-kanak warganegara Malaysia tanpa dokumen diseru sertai program SBJK – Fadhlina

Read Time:1 Minute, 57 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Kanak-kanak warganegara Malaysia yang tidak mempunyai dokumen di negeri ini diseru untuk menyertai program Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Fadhlina

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, sehubungan dengan itu, satu Program Outreach Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) Kota Kinabalu 2024 dilaksanakan bagi mencari dan menambah bilangan pelajar supaya lebih ramai kanak-kanak yang dikenal pasti datang ke sekolah dan mendapat pendidikan sewajarnya seperti pelajar-pelajar arus perdana lain.

“Justeru, SBJK ini diwujudkan bertujuan untuk anak-anak warganegara Malaysia yang tiada dokumen komited di peringkat pendidikan Malaysia dan kita berikan pendidikan kepada mereka.

“”Kriteria yang diperlukan sebagai mana yang telah ditentukan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ia memang memfokuskan kepada kanak-kanak yang tidak ada dokumen pengenalan diri dan mereka adalah warganegara Malaysia, samada ibu atau ayah warganegara atau keduanya, jadi kita bagi tumpuan kepada mereka,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja bagi program outreach SBJK, Sekolah Kebangsaan Sembulan di sini pada Khamis.

Setakat ini seramai lapan orang pelajar direkodkan di negeri ini yang menyertai program SBJK di sekolah tersebut.

Fadhlina berkata, program outreach SBJK itu adalah program perluasan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih yang telah diadakan di Chow Kit Kuala Lumpur, dan ini merupakan perluasan program yang dibuat di Kota Kinabalu.

“Kita harap program ini akan dapat dikembangkan dan mendapat sokongan dan kita juga sedang melihat keperluan-keperluan guru bagi menambah baik dari semasa ke semasa.

“Difahamkan sekolah ini bersedia untuk menambah pelajar satu kelas, sekiranya ada penambahan pada malam ini, maknanya kita sudah bersedia untuk penambahan pelajar,” ujarnya.

Menurut Fadhlina lagi, setakat ini memang ada permintaan untuk melaksanakan sekolah khas SBJK seperti di Kuala Lumpur tetapi keperluan itu bergantung kepada syarat yang sedang diteliti.

“Kalau ada keperluan dan syarat itu dipatuhi maknanya program itu akan dibuat di sekolah arus perdana dan hanya perluasan itu akan berlaku.

“Sebab itu kita tidak buat sekolah khas SBJK di Sabah seperti di Kuala Lumpur, kita hanya buat program perluasan jadi kita boleh masuk dalam sekolah-sekolah arus perdana tapi kelasnya berasingan daripada kanak-kanak yang lain,” jelas beliau.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata, sebanyak 388 sekolah daif seluruh negara yang sedang dinaiktaraf dan dibaiki melibatkan keperluan lebih RM3 bilion.

“Jadi kita harap semua yang kita rancang dapat kita segerakan khususnya supaya anak-anak dapat belajar dalam suasana yang kondusif,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular