HomeUtamaPBS, STAR meterai MoU perkukuh kerjasama politik

PBS, STAR meterai MoU perkukuh kerjasama politik

Read Time:1 Minute, 42 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) bersama Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) demi memperkukuhkan kerjasama politik antara kedua-dua parti itu.

Majlis MoU antara PBS dan STAR disaksikan Penasihat Perdana Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang berlangsung di Hongkod Koisaan, KDCA Penampang, petang tadi.

Joachim (dua kiri) bertukar dokumen dengan Jeffrey sambil disaksikan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (tengah) pada majlis MoU itu.

Penandatangan Memorandum itu diwakili Timbalan Presiden PBS Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam manakala mewakili Parti STAR, presidennya Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan.

Sehubungan dengan itu, Jeffrey berkata, MoU ini adalah aspirasi bersama kedua-dua parti itu.

“MoU ini adalah satu persefahaman untuk bekerjasama dengan kesedaran bahawa aspirasi kita adalah sama iaitu tujuan dan perjuangan kita adalah sama.

“Dengan kesedaran itu kita juga sedar bahawa untuk capai aspirasi rakyat dan objektif kita, kita tiada pilihan dan kena bekerjasama, bersatu dan bersolidariti.

“Sebab kita telah belajar dari sejarah yang mana kita bertelingkah di antara satu sama yang lain, bukan saja kita rugi, parti rugi, pemimpin rugi, tapi rakyat kita juga rugi akibat daripada ketidaksefahaman atau pun pertelingkahan di antara kita,” katanya pada sidang media selepas majlis MoU itu.

Menurut Jeffrey, persefahaman itu juga bersetuju menubuhkan Majlis Kepimpinan Bersama sebagai mekanisma membuat dasar dan keputusan muktamad.

“Kita juga bersetuju supaya kita berkolaborasi untuk urus, beri latihan kepada ahli-ahli kita, jentera kita serta bersetuju bekerjasama dari segi media, kolaborasi tentang penerangan.

“Kita juga bersetuju supaya tubuhkan satu jawatankuasa khas kenal pasti kawasan-kawasan yang kita harus tandingi, dan bersetuju untuk menyelesaikan segala masalah supaya kita sehaluan dalam pengurusan perjuangan dan pengurusan parti. Itulah hasilnya,” jelas Jeffrey.

Sementara itu, Joachim turut menekankan kerjasama yang dimeterai ini adalah untuk memperkukuhkan parti sekali gus menguatkan lagi hubungan parti-parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Ini baru permulaan, selain kerjasama ini juga adalah untuk kepentingan rakyat Sabah, justeru dengan penubuhan Majlis Kepimpinan Bersama, sasaran kita adalah untuk memberikan kemenangan besar kepada GRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular