HomePendapatSabah Digesa Gubal Dasar Pekerja Asing Yang Baru

Sabah Digesa Gubal Dasar Pekerja Asing Yang Baru

Read Time:8 Minute, 18 Second

1.        Pada awal tahun 2024, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia, yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu, di laporkan telah mencadangkan agar Kerajaan Sabah memperluas negara sumber untuk pekerja asing di dalam sektor perladangan di Sabah. Menurut beliau, ketika ini, Sabah hanya menerima pekerja asing dari Indonesia dan Filipina.

2.        Malah, terlebih dahulu pada Ogos 2022, cadangan sama telah di suarakan oleh Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC). Beliau menggesa Kerajaan Sabah agar membenarkan pengambilan pekerja dari pelbagai negara sumber supaya sektor ekonomi utama Sabah, seperti perladangan, pembinaan dan perkhidmatan, dapat menangani isu kekurangan pekerja yang serius.

3.        Di samping itu, pada awal tahun 2024, seorang bekas Ketua Menteri Sabah telah mencadangkan agar Kerajaan Sabah mempertimbang dasar yang membenarkan permit pekerja asing di lanjutkan sehingga 15 tahun, dan bukannya pembaharuan permit setiap tahun sekarang. Dasar berkenaan di perlukan memandangkan Sabah di jangka menyaksikan pengaliran keluar ramai pekerja asing Indonesia dari Sabah, susulan pembinaan bandar Nusantara di Kalimantan, iaitu ibu negara baru Indonesia.

4.        Sebagaimana yang di hadapi oleh Malaysia, Sabah bergantung tinggi kepada tenaga kerja asing untuk menjana pembangunan ekonomi. Tenaga kerja asing di ambil bekerja di dalam pelbagai sektor ekonomi utama Sabah, walaupun majikan terpaksa membayar kos pengambilan pekerja yang tinggi. Kos berkenaan boleh mencecah ribuan Ringgit Malaysia untuk setiap pekerja asing, merangkumi pembayaran yuran agensi pekerja asing, levi permit kerja dan pemeriksaan kesihatan. 

                                                             Sumber: Portal Rasmi Jabatan Imigresen Malaysia

5.        Isu kebergantungan tinggi kepada pekerja asing ini adalah dilema yang agak membingungkan kerana Sabah memiliki kadar pengangguran tertinggi di Malaysia. Untuk sekian lama, kadar pengganguran di Sabah menunjukkan trend peningkatan sebelum mula turun pada tahun 2022: 5% (2015), 5.4% (2016), 5.6% (2017), 5.8% (2018), 5.8% (2019), 8.0% (2020), 8.2% (2021), 7.7% (2022).

Pada Ogos 2023, Sabah di laporkan memiliki sejumlah 169,800 penganggur, meliputi 29% daripada jumlah penganggur di Malaysia.

6.        Pada masa yang sama, Ketua Menteri Sabah ada menyatakan hampir 200,000 rakyat Sabah bekerja di Semenanjung Malaysia. Ini bermakna rakyat Sabah sanggup berhijrah ke tempat lain demi mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan gaji bermaruah.

7.        Oleh yang demikian, rumusan mudah ialah ramai rakyat Sabah tidak berminat untuk melaksanakan pekerjaan yang di buat oleh pekerja asing. Antara lain, ini mungkin di sebabkan oleh pekerjaan berkenaan di anggap sebagai pekerjaan 3D (Dirty, Dangerous, Difficult)/ (Kotor, Bahaya, Sukar), terutamanya melibatkan pekerjaan di dalam sektor pertanian dan pembinaan.

8.        Pada Julai 2023, Setiausaha Persekutuan Sabah di laporkan berkata terdapat sejumlah 69,791 majikan di Sabah yang berdaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah. Secara keseluruhan, majikan berkenaan mempunyai seramai 819,111 pekerja.

9.        Daripada jumlah 819,111 pekerja tersebut, pekerja tempatan adalah 55.2% (452,149 orang), manakala pekerja asing adalah 44.8% (366,962 orang). Tambahan lagi, daripada jumlah pekerja asing tersebut, 80.4% (295,037 orang) memiliki dokumen pekerjaan sah, dan lebih 70,000 adalah pekerja asing tanpa dokumen pekerjaan sah.

10.      Menurut beliau lagi, lebih 80% pekerja asing di Sabah tertumpu kepada sektor-sektor seperti pertanian dan pembinaan. Secara tidak langsung, data ini mengesahkan bahawa rakyat Sabah tidak berminat untuk terlibat di dalam pekerjaan 3D.

11.      Situasi ini berlaku mungkin di sebabkan pekerjaan 3D tidak menyediakan gaji yang lumayan, faedah pekerjaan yang menarik serta potensi karier yang cerah. Tambahan lagi, ianya juga mungkin di sebabkan oleh stigma pekerjaan 3D di pandang rendah oleh masyarakat.

12.      Peratusan jumlah pekerja asing (44.8%) di Sabah itu menunjukkan peningkatan, berbanding dengan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada tahun 2017. Ketika itu, peratusan pekerja asing di Sabah adalah 39.8%, di mana pekerja Indonesia (22.4%) dan pekerja Filipina (16.6%).

13.      Data berkenaan turut menunjukkan hampir kesemua sektor ekonomi Sabah mempunyai majoriti pekerja asing:

  • Pertanian: 62.6%: Indonesia (47.4%), Filipina (15.2%)
  • Perlombongan: 54.3%: Indonesia (45.3%), Filipina (9.0%)
  • Pembuatan: 52.2%: Indonesia (35.7%), Filipina (16.5%)
  • Pembinaan: 52.9%: Indonesia (14.4%), Filipina (38.5%)
  • Perkhidmatan: 22.8%: Indonesia (10.9%), Filipina (11.9%)

     Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM)

14.      Selain memiliki peratusan pekerja asing yang tinggi, Sabah turut memiliki peratusan populasi penduduk bukan warganegara yang begitu tinggi. Menteri Dalam Negeri Malaysia pernah di laporkan berkata terdapat lebih satu juta penduduk tanpa dokumen/ undocumented people di Sabah.

15.      Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2022, penduduk bukan warganegara merangkumi 22% (0.736 juta orang) daripada jumlah penduduk Sabah (3.39 juta orang), manakala warganegara pula adalah 78% (2.654 juta orang).

16.      Rata-rata, penduduk bukan warganegara berkenaan hidup di dalam kemiskinan. Tanpa dokumen yang sah, mereka sukar untuk mendapat pekerjaan tetap dan pendapatan yang mencukupi. Ini menyumbang kepada kadar kemiskinan yang tinggi di Sabah. Malah, daerah-daerah yang merekodkan peratusan tinggi penduduk bukan warganegara, seperti Tongod (35%), Beluran (47%), Lahad Datu (33%), Kinabatangan (78%), juga merekodkan peratusan kemiskinan yang tinggi.

17.      Pada awal Februari 2024, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah di laporkan berkata salah satu cara untuk mengurangkan kebergantungan tinggi kepada pekerja asing ialah dengan menguruskan populasi bukan warganegara berkenaan sebagai sumber tenaga kerja.

18.      Ini susulan cadangan daripada Penyelaras Residen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)/ United Nation Resident Coordinator untuk Malaysia, Singapura dan Brunei, agar Sabah memanfaatkan potensi penduduk bukan warganegara untuk agenda pembangunan Sabah, sebagai satu usaha untuk menangani isu penduduk bukan warganegara tanpa dokumen.

19.      Berdepan dengan isu-isu pekerja asing dan penduduk bukan warganegara, pada Januari 2022, Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata bahawa Kerajaan Sabah akan melaksanakan Program Khas Pendataan Pekerja Asing dan Bukan Pemastautin Negeri Sabah, serta membangunkan Sistem Pengurusan Bersepadu Pekerja Asing dan Bukan Pemastautin Negeri Sabah.

20.      Ianya bertujuan untuk mengumpul data pekerja asing dan bukan pemastautin yang tepat, menyeluruh serta terkini. Program pendataan ini di jangka akan dapat membantu Kerajaan Sabah dan Kerajaan Malaysia untuk mengadakan dasar yang sesuai untuk pengurusan serta pemantauan pekerja asing dan bukan pemastautin di Sabah.  

21.      Pada Jun 2023, Timbalan Ketua Menteri Sabah, yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, berkata program rintis pendaftaran pekerja asing di Sabah telah di laksanakan di ladang kelapa sawit milik Sawit Kinabalu, iaitu sebuah syarikat milik Kerajaan Sabah. Ianya telah berjaya mendaftarkan seramai 14,855 orang pekerja asing, di mana separuh daripada jumlah tersebut adalah pekerja asing haram yang tidak memiliki dokumen lengkap.

22.      Hasil pendaftaran ini membuktikan situasi kekurangan pekerja yang kritikal di dalam sektor perladangan kelapa sawit di Sabah, sehinggakan anak syarikat Kerajaan Sabah sendiri terpaksa mengguna-pakai pekerja asing haram untuk menjalankan operasi ladang. Sudah pasti ramai majikan lain di Sabah turut mengguna-pakai pekerja asing haram agar operasi perniagaan dapat di teruskan.

23.      Justeru itu, dengan data yang di kumpul nanti, Kerajaan Sabah dan Kerajaan Malaysia mestilah mengubal serta melaksanakan dasar yang efektif untuk menangani segera isu-isu serangkai yang di hadapi oleh Sabah, iaitu:

  • kekurangan pekerja yang merencatkan agenda pembangunan Sabah
  • pengaliran keluar ramai pekerja asing dari Sabah, terutamanya pekerja asing Indonesia
  • jumlah penduduk bukan warganegara tanpa dokumen sah yang ramai di Sabah

24.      Untuk mengubal dasar berkenaan, Kerajaan Sabah wajar mempertimbangkan beberapa perkara utama, antaranya:

  • menerima pekerja asing dari negara-negara sumber yang baru, selain Indonesia dan Filipina
  • memanjangkan tempoh permit kerja agar pekerja asing dapat bekerja lebih lama di Sabah
  • membenarkan penduduk tanpa dokumen di Sabah bekerja secara sah agar mereka memperolehi pekerjaan dan pendapatan tetap

25.      Di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963/ Malaysia Agreement 1963 (MA63), Sabah memiliki kuasa untuk menentukan dasar imigresen yang sesuai dan terbaik untuk Sabah. Ini termasuklah kuasa untuk membenarkan seseorang keluar-masuk, bekerja serta menetap di Sabah.

26.      Sebagai contoh: Menurut Jabatan Imigresen Malaysia, permohonan pekerja asing untuk bekerja di Sabah adalah tertakluk kepada bidang kuasa Kerajaan Sabah.

                                      Sumber: Portal Jabatan Imigresen Malaysia

27.      Maka, berdasarkan kuasa berkenaan, Sabah sewajarnya berhak menerima sebahagian daripada hasil kutipan levi pekerja asing yang bekerja di Sabah. Perkongsian hasil kutipan levi berkenaan akan membolehkan kuasa dan hak Sabah di penuhi, sebagaimana di impikan oleh pemimpin yang menandatangani Perjanjian Malaysia 1963.   

28.      Mengguna-pakai data Jabatan Tenaga Kerja Sabah yang merekodkan seramai 295,037 pekerja asing sah di Sabah pada tahun 2023, jumlah levi pekerja asing yang di kutip oleh Jabatan Imigresen Malaysia boleh mencecah sekurang-kurangnya RM 300 juta setahun.

29.      Jika Sabah menerima 40% (RM 120 juta) daripada jumlah levi berkenaan, ianya boleh di guna-pakai untuk membangunkan dan melaksanakan Sistem Pengurusan Bersepadu Pekerja Asing dan Bukan Pemastautin Negeri Sabah secara efektif. Ini sudah pasti akan dapat menyumbangkan kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Sabah.

30.      Sabah Teguh, Rakyat Terbela.

RELATED ARTICLES
Pendapat

Rencana: Pemupukan Amalan Bekerja Secara Madani (ABM) dalam Konteks Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular