HomeIsu tempatanBelia digalakkan tubuh koperasi industri sukan

Belia digalakkan tubuh koperasi industri sukan

Read Time:1 Minute, 39 Second

Penampang : Golongan belia khususnya yang terlibat dalam industri sukan di negeri ini digalakkan untuk menubuhkan koperasi berkaitan sukan bagi membolehkan mereka menceburi keusahawanan melalui koperasi.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, Koperasi Esport Pahang Berhad yang diterajui golongan belia telah mewujudkan sebuah akademi Pahang E-Sports Academy (PEA) bertujuan memberi didikan kepada atlet e-sports serta menyediakan perkhidmatan berkaitan aktiviti e-sports.

“Agensi-agensi di bawah kementerian saya seperti Bank Rakyat mempunyai skim pembiayaan industri sukan, begitu juga di bawah Tekun Nasional turut menyediakan skim pembiayaan khas untuk mereka yang berniaga dalam sektor sukan.

“Oleh itu saya menyokong sepenuhnya sekiranya golongan belia di Penampang atau daerah-daerah lain di Sabah dan di seluruh negara mahu menubuhkan koperasi berkaitan sukan.

“Selagi saya di kementerian ini saya mahu membantu dari segi pembiayaan dan keperluan-keperluan lain yang bersesuaian agar lebih banyak koperasi industri sukan ditubuhkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan pertandingan Open UPKO Double Dart anjuran Pemuda Upko Penampang dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Komuniti Moyog Penampang, di Dewan Sigah, Kg.Tuavon, di sini, hari ini.

Ewon berkata, bagi memasyarakatkan koperasi agar lebih ramai memahami dan menubuhkan koperasi, kementeriannya melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) terus melaksanakan Program Memasyarakatkan Koperasi yang dimulakan sejak tahun lepas dan akan diteruskan pelaksanaannya.

“Sambutan Program Memasyarakatkan Koperasi itu mendapat sambutan amat menggalakkan daripada belia. Ada beberapa belia telah mengemukakan permohonan pendaftaran koperasi dan kita sangat mengalu-alukan dan berharap sambutan ini berterusan,” katanya.

Selain koperasi industri sukan, Ewon turut menggalakkan masyarakat supaya menubuhkan koperasi dalam agro makanan.

“Kelmarin saya telah melawat Ladang Ternakan Ayam milik Koperasi Kinabalu Lestari Berhad (KOKINA), di Kg. Mook Kinarut Papar.

“Koperasi ini baru ditubuhkan tahun lepas tetapi telah membina ladang ayam yang saiznya sangat besar dan sudah 70 peratus siap.

“Di bawah Tabung Modal Pusingan kita memperuntukkan RM100 juta untuk koperasi yang terlibat dalam agro makanan atau keterjaminan makanan.

“Maka saya mengalu-alukan masyarakat khususnya di Sabah supaya menubuhkan koperasi dalam sektor agro makanan,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Ko-Nelayan, UMS jalin kolaborasi bangun produk makanan hiliran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya