HomeUtamaDUN Sabah : Sabah tuntut secara berfasa sekiranya rundingan Pemberian Khas tidak...

DUN Sabah : Sabah tuntut secara berfasa sekiranya rundingan Pemberian Khas tidak capai kata sepakat

Read Time:1 Minute, 42 Second

Kota Kinabalu : Kerajaan Sabah akan membuat tuntutan secara berfasa sekiranya rundingan bagi memuktamadkan formula Pemberian Khas yang berakhir Julai tahun ini tidak mencapai kata sepakat.

Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, tuntutan itu akan dibuat tanpa data-data yang lengkap dari Kerajaan Persekutuan.

Katanya, Sabah sebelum ini telah meminta data dari Kerajaan Persekutuan bagi menentukan jumlah yang wajar dituntut namun tidak ada jawapan munasabah yang diberikan.

“Untuk pengetahuan dan ini seperti mana yang telah dimaklumkan secara ringkas, Timbalan Perdana Menteri 2 dimana kita diberi satu tahun dari Julai tahun lalu untuk berunding selama setahun dan ini kita ambil sebagai satu janji.

“Sekiranya selepas Julai (2024) tidak ada persetujuan dicapai oleh negeri dan juga Persekutuan, maka terserah pada kita untuk mengambil pilihan untuk melantik pentaksir bebas, ini telah dinyatakan.

“Selain itu, kita juga telah nyatakan selepas Julai, kita juga akan buat tuntutan secara berfasa tanpa data-data yang lengkap dari Kerajaan Persekutuan.  Kita akan buat andaian sendiri berapa jumlah berdasarkan data yang diumumkan oleh agensi Kerajaan Persekutuan sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Bung Mokhtar Radin (BN- Lamag) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Masidi berkata, Sabah juga akan membuat perkiraan sendiri mengenai jumlah yang akan dituntut.

Terdahulu, Pembantu Menteri Kewangan Tan Lee Fat ketika menjawab pertanyaan ADUN LAMAG memaklumkan Sabah berpegang teguh untuk mengekalkan formula asal Pemberian Khas seperti yang termaktub di Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan iaitu dua per lima atau 40 peratus daripada Hasil Bersih Persekutuan di Sabah.

Katanya, semenjak rundingan ke atas amaun Pemberian Khas ini dimulakan, Kerajaan  Persekutuan  telah membayar RM125.6 juta pada tahun 2022 dan seterusnya RM300 juta pada tahun 2023 yang mana Kerajaan Negeri bersetuju menerima bayaran tersebut sebagai penyelasaian secara interim.

“Suka saya ingatkan bahawa perkara mengenai Pemberian Khas ini masih dalam proses rundingan, saya yakin dan percaya rundingan Kerajaan Persekutuan dan Negeri akan membuahkan hasil yang kita nantikan sekian lama untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular