HomeUtamaTangani isu dera kanak-kanak, gubal langkah sewajarnya - Amisah

Tangani isu dera kanak-kanak, gubal langkah sewajarnya – Amisah

Read Time:5 Minute, 2 Second

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah Yassin menggesa pihak berwajib untuk meneliti dan mengkaji tentang masalah penderaan kanak-kanak dan mencari penyelesaian tuntas dengan kadar lebih segera.

Katanya, penderaan dan kezaliman terhadap kanak-kanak adalah satu tindakan yang tidak boleh diterima dan dipandang remeh oleh komuniti serta penggubalan akta, undang-undang, bahkan langkah segera perlu diambil bagi ‘membunuh’ penyakit tersebut.

“Baru-baru ini juga kita sangat terkejut apabila dilaporkan satu kes dera membabitkan kanak-kanak berusia lima dan 13 tahun, yang ditekap dengan seterika, disiram dengan air panas dan dipukul dengan batang besi.
 
“Kita tidak faham mengapa masih ada individu yang bergelar manusia sanggup memperlakukan kanak-kanak, golongan lemah yang sepatutnya dilindungi, dijaga, diberikan pendidikan dan dicurahkan kasih sayang tetapi dijadikan mangsa kekejaman ibu bapa dan penjaga.
 
“Sampai bila kita harus menatap berita-berita yang menyayat hati seperti ini, sedangkan haiwan tidak memperlakukan anak mereka dengan kejam, bagaimana kita ini yang bergelar manusia tetapi langsung tidak mempunyai sifat simpati dan belas ihsan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan perbahasan beliau sewaktu Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah disini pada Isnin.

Amisah menggesa pihak berwajib untuk meneliti dan mengkaji tentang masalah penderaan dan mencari penyelesaian tuntas dengan kadar lebih segera.
 
“Saya memohon di Dewan Yang Mulia ini agar agensi dan kementerian yang berkaitan segera mengambil langkah-langkah lebih serius dan drastik agar kes-kes penderaan seperti ini tidak lagi berulang.
 
“Kempen-kempen mengenai cara mengawal emosi, dan kemarahan mesti diterap kepada masyarakat khususnya mereka yang mahu mendirikan rumah tangga.
 
“Jiran-jiran dan orang awam yang melaporkan kes dera wajar diberikan ganjaran dan insentif supaya ada sifat berlumba-lumba untuk mengambil cakna dengan masalah sosial di tempat mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Amisah turut meminta agar kejiranan, guru, pemimpin peringkat komuniti dan ahli keluarga sendiri untuk peka dan melatih anak-anak dari usia muda supaya faham tentang konsep penderaan dan berani untuk bersuara jika terjebak menjadi mangsa kepada kes tersebut.

“Kita mesti melatih anak-anak untuk lebih peka, dan kita juga perlu peka dengan murid dan kanak-kanak dibawah jagaan kita.

“Jika dilihat agak mencurigakan segera lapor kepada pihak polis bagi tujuan pemeriksaan segera.
 
“Sudah pasti, saya juga mahu dan meminta agar pihak berkaitan mengkaji semula hukuman yang dikenakan kepada pesalah kes dera dan hukuman mestilah setimpal dan mampu memberi pengajaran kepada orang lain,” katanya lagi.

Amisah menegaskan bahawa hukuman sedia ada mungkin memberi tanggapan kepada pesalah kes penderaan bahawa undang-undang negara tidak ketat terhadap isu penderaan.

“Perlu ada hukuman sebat dan penjara yang lama kepada pelaku dan mereka perlu merasai sakit bagaimana mereka menyakiti kanak-kanak.

“Mangsa dera akan mengalami trauma seumur hidup mereka, sedangkan pelaku boleh bebas begitu sahaja jika dikenakan sekadar penjara setahun atau dua tahun.
 
“Saya menggesa Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sabah dan agensi-agensi yang berkaitan supaya bersama-sama mencari solusi kenapa sering berlaku penderaan,” katanya.

Selain itu, Amisah juga menyeru pihak berwajib untuk mengatasi masalah buli pelajar di sekolah dan institusi pengajian tinggi.

“Merujuk kepada kes buli melibatkan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut akibat dipukul di sebuah kolej vokasional di Lahad Datu baru-baru sangat menyedihkan kita.
 
“Mangsa yang merupakan pelajar program Bioteknologi di kolej berkenaan, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan hanya disebabkan perselisihan kecil membuktikan bahawa isu buli perlu ditangani secara serius sebelum virus ini menjadi budaya dalam kehidupan generasi kita yang akan datang,” katanya.

Amisah berkata, perbuatan buli sejak dulu hingga kini masih berlaku, seolah-olah pelaku kesalahan buli tidak mempunyai akal untuk menilai perilaku baik dan tidak baik.
 
“Buli adalah perlakuan yang mengandungi elemen dera dan memalukan mangsa dan menyedihkan kerana sudah banyak kes pesalah telah menerima hukuman, namun kes buli seolah-olah tidak berkesudahan, malah lebih dikesali ada  pihak pentadbir institusi pendidikan, cuba menyembunyi kes yang berlaku untuk menutup malu.
 
“Hal ini terbukti melalui apa yang dikongsi Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying di Dewan Rakyat baru-baru ini, bahawa data daripada Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) Kementerian Pendidikan (KPM) menunjukkan jumlah kes buli meningkat dari tahun 2021 hingga 2023, dengan rekod tahun 2021 sebanyak 326 kes dan meningkat mendadak kepada 3,887 kes manakala pada tahun 2023, sehingga Oktober, jumlahnya adalah 4,994 kes,” katanya.

Jelas Amisah, usaha untuk memperkasa pendidikan agama dan sivil dengan merangka modul khas tentang sahsiah diri mampu membantu mengatasi masalah buli dalam kalangan pelajar.
 
“Saya yakin pendidikan agama dan sivik dengan modul khas, mampu menyelesaikan masalah buli dalam kalangan pelajar mahupun anggota masyarakat.

“Seawal usia enam tahun di tadika, pendidikan agama dan sivik perlu diterapkan kepada anak-anak kita.
 
“Budaya saling menghormati dan menyayangi antara sesama insan, menjaga hak diri dan hak orang, tindakan yang boleh dan tidak boleh dilakukan, asas undang-undang dan sebagainya mesti ditanam ke dalam diri setiap murid,” katanya.

Tambah beliau lagi, adab sopan dan menghormati sesama pelajar perlu diajar dan diterapkan sejak dari kecil, bermula di sekolah dan ibu bapa mesti mempunyai ruang masa bagi tujuan tersebut.

“Rasanya semua agama mengajar penganutnya menghormati sesama insan, dan melarang perbuatan menindas orang yang lemah.
 
“Kempen kesedaran sayangi diri dan orang sekeliling serta pengurusan kawalan diri, perlu diperluaskan di sekolah bagi memupuk pelajar dengan kemahiran empati dan mengawal emosi seawal usia muda,” tegasnya.

Menurut Amisah, kurikulum pendidikan kebangsaan dikaji semula, dan pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) pada tahun 1983, pendidikan sivik telah dimansuhkan dan nilai-nilai pendidikan sivik dimasukkan ke dalam subjek seperti Sains, Geografi, Sejarah dan Kesihatan.
 
“Pendidikan sivik kemudiannya telah diperkenalkan semula pada tahun 2005 sebagai satu mata pelajaran khusus atau berasingan.

“Namun, tidak lama selepas itu pihak kerajaan sekali lagi memansuhkan pendidikan sivik pada tahun 2013 bagi sekolah rendah dan 2017 bagi sekolah menengah.
 
“Oleh itu, adalah wajar pendidikan sivik diperkasakan semua dalam usaha membentuk nilai-nilai jati diri generasi muda agar mereka ini bukan sahaja pintar dalam aspek akademik tetapi juga mempunyai akhlak yang terpuji,” ujarnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Had laju diubah, kurangkan risiko kemalangan di Jalan Lintas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya