HomeUtamaDUN Sabah : KEPKAS, syarikat penerbangan bincang agar dapat tetapkan harga tiket...

DUN Sabah : KEPKAS, syarikat penerbangan bincang agar dapat tetapkan harga tiket pada kadar berpatutan

Read Time:1 Minute, 32 Second

Kota Kinabalu : Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KEPKAS) Sabah akan mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat penerbangan agar dapat menetapkan harga tiket penerbangan pada kadar berpatutan.

Menterinya Datuk Christina Liew berkata, Kerajaan Sabah amat mengambil berat terhadap isu berhubung kenaikan harga tambang tiket penerbangan terutama sekali di musim perayaan atau cuti sekolah.

“Secara dasarnya Kerajaan Negeri tidak mempunyai atau merancang untuk membuat langkah intervensi kepada syarikat penerbangan berhubung kadar tambang bagi sesuatu destinasi terutama bagi penerbangan ke Sabah.

“Harga tiket penerbangan adalah mengikut mekanisma harga dinamik yang diamalkan oleh mana-mana syarikat penerbangan di dunia iaitu amalan perniagaan berasaskan bekalan dan permintaan terhadap sesuatu produk ataupun perkhidmatan bagi sesebuah syarikat tersebut. 

“Sememangnya Kerajaan Negeri amat mengambil berat terhadap isu berhubung kenaikan harga tambang tiket penerbangan terutama sekali di musim perayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Mengenai isu kemudahan dan fasiliti di Lapangan Terbang Kota Kinabalu (KKIA), Christina berkata, kementeriannya menyedari terhadap isu itu terutama yang melibatkan tandas, penghawa dingin, tempat letak kereta, dan tempat duduk.

“Bahkan, saya sendiri sentiasa menimbulkan isu-isu ini dalam media cetak dan elektronik. Akan tetapi, melihat perbandingan KKIA sepanjang dua  tahun kebelakangan ini, terdapat banyak penambahbaikan yang telah dilakukan oleh pihak Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).

“Antara penaiktarafan yang telah dilaksanakan adalah penambahan perkhidmatan buggy dan troli bagasi, penambahan dan pembaikan tempat duduk awam, penaiktarafan tandas yang mana kerja-kerja ini akan dilaksanakan dalam dua fasa dan dijangka siap pada awal tahun 2025,” katanya.

Christina berkata, pihak MAHB juga akan menambahbaik sistem penghawa dingin dan menambahbaik sistem tempat letak kereta yang mana perkhidmatan pembayaran tanpa tunai akan digunakan. 

“Justeru itu, saya berharap pengguna akan terus bersabar dengan perancangan ini dan Kementerian akan sentiasa memantau penaiktarafan ini dari semasa ke semasa,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular