HomeUtamaCubaan seludup minuman keras bernilai RM450,000, duti, cukai lebih RM1.9 juta tumpas

Cubaan seludup minuman keras bernilai RM450,000, duti, cukai lebih RM1.9 juta tumpas

Read Time:2 Minute, 1 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya menahan lima kontena berisi minuman keras bernilai lebih RM450,000 dengan anggaran duti serta cukai berjumlah lebih RM1.9 juta dalam satu operasi selama tiga hari berturut-turut baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, untuk tempoh tiga hari operasi iaitu 16, 17 dan 18 April lalu, hasil maklumat Cawangan Risikan, sepasukan anggota daripada Unit Operasi Penguatkuasaan Kota Kinabalu dengan kerjasama Cawangan Import Eksport Pelabuhan Sapanggar telah berjaya menahan lima buah kontena berisi pelbagai jenis minuman keras yang disyaki cuba diseludup masuk ke dalam negara dengan anggaran nilai RM473,064.76, manakala anggaran jumlah nilai duti dan cukai terlibat adalah sebanyak RM1,935,196.87.

Mohd Nasir (dua kiri) menunjukkan pelbagai jenis minuman keras yang dirampas pada sidang media di sini, hari ini.

“Namun demikian, modus operandi bagi kelima-lima kes ini adalah membuat pengikraran palsu bagi tujuan penyeludupan dan sekaligus mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil daripada maklumat perkapalan lima kontena ini dipercayai adalah datang dari dua buah negara iaitu Hong Kong dan Singapura.

Mohd Nasir juga tidak menolak kemungkinan minuman keras ini dibawa masuk ke negeri ini untuk perayaan-perayaan tertentu namun demikian pihak JKDM akan menjalankan operasi penyeludupan dan penyeleweng secara berterusan bukan sahaja pada hari perayaan tertentu.

“Kita akan sentiasa memantu aktiviti penyeludupan ini dan operasi kita secara berterusan cuma apabila kita melalui tempoh perayaan-perayaan kita ada fokus-fokus tertentu.

“Operasi kita kalau ada perayaan tertentu, fokus kita kepada komuniti-komuniti tertentu tapi untuk membenteras penyeludupan, penyelewengan, operasi kita adalah secara berterusan namun pada perayaan khusus ada operasi khusus,” jelasnya.

Beliau berkata, kelima-lima kes sedang disiasat di bawah Seksyen 52 dan 135 (1) (a) Akta Kastam 1967. Jika sabit kesalahan, kesalahan pertama memperuntukkan denda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000, mengikut mana-mana yang lebih besar dan tidak lebih dari dua puluh kali ganda amaun duti kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana yang lebih besar, atau dipenjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya.

Sehubungan dengan itu, Mohd Nasir menasihatkan orang ramai agar memberi kerjasama membenteras penyeludupan ini dan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

RELATED ARTICLES
Utama

Bakal jemaah haji Sabah perlu siapkan diri dari aspek mental, kekuatan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya