1. Saidina Ali bin Abu Talib R.A, Khalifah ke-4 Khulafa’ al-Rasyidin,pernah berkata: Jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini.
2. Kata-kata Saidina Ali R.A tersebut yang di ungkapkan sekitar 1,400 tahun dahulu, masih relevan hingga kini. Ianya menekankan kepentingan peranan dan tanggungjawab generasi muda di dalam agenda bina-negara/ nation building. Karakter, keperibadian serta jatidiri generasi muda akan mencorak agenda bina-negara dan seterusnya menentukan kesejahteraan rakyat serta negara.
Ini termasuklah: pegangan moral dan nilai kehidupan, tahap pendidikan dan kemahiran, serta semangat kesetiaan dan patriotik kenegaraan.
3. Berdasarkan laporan media massa dan data sediada, generasi muda negara masakini di lihat menghadapi pelbagai cabaran dan masalah yang semakin membimbangkan. Ini bukanlah sesuatu yang baru, tetapi sudah berlanjutan untuk sekian lama. Malah, ianya telah dan akan menjejaskan agenda bina-negara.
Sekiranya di biarkan terus menular tanpa usaha penyelesaian segera secara menyeluruh dan efektif, ini sudah pasti boleh membawa kepada kemerosotan negara yang telah terbina selama ini.
4. Cabaran dan masalah generasi muda berkenaan melibatkan pelbagai perkara, berpunca dari pelbagai faktor, antaranya: masalah keluarga, masalah kewangan, masalah pembelajaran, penggunaan media sosial yang tidak terkawal, tekanan dan pengaruh rakan sebaya.
5. Dari aspek pendidikan, ramai generasi muda seolah-olah tidak berminat dengan pembelajaran, di mana prestasi pencapaian akademik merosot dan berada di tahap yang lemah. Menurut laporan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), ramai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah mendapat keputusan GAGAL untuk Matematik: 24.3% (SPM 2022), 25.5% (SPM 2021).
6. Peratusan kegagalan yang sangat tinggi untuk Matematik sudah pasti akan merencatkan agenda modal insan negara untuk melahirkan ramai rakyat Malaysia yang memiliki pengetahuan dan kemahiran STEM (Science, Technology, Engineering, Mathematics). Agenda ini kritikal untuk melonjakkan Malaysia keluar dari perangkap negara berpendapatan sederhana/ middle-income nation ketika ini, ke negara berpendapatan tinggi/ high-income nation.
7. Di samping itu, Menteri Pendidikan Malaysia telah melaporkan, sehingga Disember 2023, lebih 400,000 pelajar sekolah rendah (Tahun 1 hingga Tahun 6) dan sekolah menengah (Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5), masih belum dapat menguasai asas kemahiran/ basic skills 3M (Membaca, Menulis, Mengira) di bawah Pentaksiran Bilik Darjah/ Classroom Assessment di seluruh negara.
8. Tambahan lagi, laporan Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa/ Programme for International Student Assessment (PISA) 2022, yang di laksanakan oleh Pertubuhan Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi/ Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD), menunjukkan pencapaian pelajar Malaysia telah merosot untuk semua domain literasi yang di nilai, iaitu: Matematik, Saintifik, Bacaan. Malah, pencapaian pelajar Malaysia adalah lebih rendah berbanding dengan skor purata OECD untuk semua domain literasi tersebut.
9. Pada masa yang sama, data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menunjukkan seramai 7% (29,663 calon) telah tidak menduduki peperiksaan SPM 2022, daripada jumlah keseluruhan 407,637 calon berdaftar. Lebih membimbangkan, data KPM turut menunjukkan hampir 300,000 lepasan SPM telah tidak melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi: SPM 2020 (35.16%: 115,939 orang) dan SPM 2021 (48.74%: 180,680 orang).
10. Isu ini mungkin lebih ketara di kalangan lelaki berbanding wanita, memandangkan jumlah pelajar wanita jauh lebih tinggi daripada lelaki di institut pengajian tinggi. Untuk kemasukan ke Universiti Awam (UA) peringkat Sarjana Muda Sesi Akademik 2023/ 2024, sejumlah 70,156 calon berjaya mendapat tawaran, di mana: (64.6%: 45,310 calon) adalah wanita, manakala (35.4%: 24,846 calon) adalah lelaki.
11. Malah, ketidakseimbangan berkenaan telah berlanjutan untuk tempoh yang lama. Sebagai contoh. Untuk kemasukan Sesi Akademik 2020/ 2021, wanita merangkumi 69%, manakala untuk kemasukan Sesi Akademik 2010/ 2011, 64.8% adalah wanita.
12. Dengan jumlah besar lepasan SPM yang tidak menyambung pengajian tinggi, maka tidaklah mengejutkan ramai pekerja Malaysia memiliki tahap pendidikan dan kemahiran yang rendah. Oleh itu, ramai pekerja Malaysia menerima pendapatan yang kecil, dan mengalami kesukaran berdepan dengan cabaran kos sara hidup yang terus meningkat.
13. Menurut Laporan Survei Tenaga Buruh Suku Tahun Pertama 2023 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), majoriti (65.6%: 10.52 juta orang) penduduk Malaysia yang bekerja hanyalah memiliki pendidikan rendah dan menengah: pendidikan rendah (9.0%: 1.43 juta orang), pendidikan menengah (56.6%: 9.09 juta orang). Manakala pendidikan tertiari (31.7%: 5.09 juta orang).
14. Data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula menunjukkan ramai golongan muda menghadapi isu kesihatan mental. Tinjauan Kesihatan & Morbiditi Kebangsaan/ National Health & Morbidity Survey (NHMS) 2022, yang melibatkan lebih 30,000 pelajar (Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5), melaporkan kesihatan mental pelajar yang semakin meruncing.
Sehinggakan ramai pelajar di laporkan memiliki idea, rancangan dan percubaan membunuh diri.
15. Kajian yang di laksanakan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu/ United Nations Children’s Fund (UNICEF) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia, turut mendapati 12% kanak-kanak dan remaja dari isirumah berpendapatan rendah di 37 kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur dan Selangor, mengalami isu kesihatan mental, seperti kemurungan dan kebimbangan.
16. Tambahan lagi, di era teknologi masakini, ramai remaja di dapati mengalami ‘kemurungan digital’ berpunca dari penggunaan media sosial yang melampau dan tidak terkawal. Kemurungan digital ini menjurus kepada pelbagai aspek, antaranya: Fear of Missing Out (FOMO), Siapa Dulu/ Race to Be First, buli siber, penonjolan tahap kecantikan yang tidak realistik, menayang harta kemewahan.
17. Seterusnya, data sediada juga menunjukkan ramai generasi muda yang terlibat di dalam aktiviti tidak sihat dan jenayah, antaranya akibat pengaruh internet dan rakan sebaya.
18. Beberapa tahun lepas, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia di laporkan berkata bahawa statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) 2015 menunjukkan, terdapat sejumlah 13,831 kes kehamilan remaja (umur 10 – 19 tahun). Daripada jumlah tersebut, Sabah merekodkan jumlah tertinggi iaitu 3,804 kes.
19. Pada Disember 2023, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia menyatakan bahawa trend perlakuan hubungan seks di kalangan remaja negara adalah membimbangkan, di mana prevalens remaja yang melakukan hubungan seks telah meningkat daripada 7.3% (2017) kepada 7.6% (2022).
20. Menurut beliau, situasi ini telah menyebabkan berlakunya perkara seperti: perkahwinan bawah umur, penyakit jangkitan seksual, pengguguran kehamilan dan pembuangan bayi.
21. Malah, ramai remaja pertama kali melakukan seks pada usia yang begitu muda. Sebagai contoh. Statistik Kajian Faktor Risiko Dan Pelindung Terhadap Kesihatan Seksual Dan Reproduktif Remaja mendapati purata umur pertama kali melakukan seks bagi remaja di Sabah adalah: pelajar sekolah (14.9 tahun), pelajar universiti (18.3 tahun), luar pengajian (19.7 tahun).
22. Selain itu, ramai remaja juga terlibat dengan kes disiplin di sekolah. Menteri Pendidikan Malaysia pernah di laporkan berkata bahawa ponteng sekolah merupakan salah laku tertinggi pada tahun 2017.
23. Pada November 2023, Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia memaklumkan bahawa kes buli di sekolah mencatatkan trend peningkatan: 326 kes (2021), 3,887 kes (2022) 4,994 kes (Januari – Oktober 2023).
24. Menteri Pendidikan Malaysia pula memaklumkan bahawa masih ramai pelajar sekolah terlibat dengan gejala dadah, walaupun dengan trend menurun. Berdasarkan ujian saringan urin yang di laksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), peratusan pelajar yang di dapati positif dadah adalah: 3% (2019), 2.16% (2020), 1.18% (2022) dan 0.64% (Januari – September 2023).
25. Manakala, menurut Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), pada tahun 2022, terdapat sejumlah 137,000 penagih dadah di rekodkan di Malaysia, di mana 65% adalah golongan remaja dan belia.
26. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), antara 1 Januari – 30 September 2023, sebanyak 2,162 kes jenayah dalam kalangan kanak-kanak di daftarkan di mahkamah. Kes berkenaan melibatkan dadah, kecurian dan rompak, serta jenayah seksual.
27. Beberapa hari lepas, Bank Dunia telah menerbitkan World Bank Malaysia Economic Monitor, “Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundational Skills”. Antara intipati utama laporan tersebut ialah pelajar Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding dengan Singapura dan Korea, terutama untuk subjek Matematik dan Sains.
28. Laporan Bank Dunia berkenaan menyatakan prospek pembangunan jangka panjang Malaysia bergantung kepada pengukuhan modal insan dengan meningkatkan hasil pembelajaran kanak-kanak. Ianya telah menggariskan 4 cadangan:
- memastikan kanak-kanak mendapat pendidikan pra-sekolah yang berkualiti tinggi dan bersedia untuk menjalani pendidikan sekolah rendah
- meningkatkan akses dan kualiti pendidikan awal kanak-kanak/ early childhood education untuk golongan pendapatan rendah
- menilai rapi hasil pembelajaran pelajar dengan mengguna-pakai penanda aras antarabangsa dan menilai prestasi guru secara menyeluruh
- menyediakan program latihan guru yang efektif, serta polisi yang mengambil kira pengalaman dan keperluan guru
29. Presiden Amerika Syarikat ke-32, Franklin D. Roosevelt, pernah berkata: We cannot always build the future for our youth, but we can build our youth for the future.
30. Justeru itu, Kerajaan Malaysia mesti melipat-gandakan usaha untuk mengejutkan generasi muda dari lamunan, di mana rata-rata ramai ‘terpukau’ dengan pengaruh internet dan keseronokan media sosial. Permasalahan generasi muda memerlukan pendekatan menyeluruh, merentasi seluruh agensi kerajaan dan merangkumi semua pemegang taruh/ stakeholders.
31. Apakah masa depan negara ini?