HomeUtamaTambah doktor pakar di Pusat Jantung Sabah - James

Tambah doktor pakar di Pusat Jantung Sabah – James

Read Time:1 Minute, 59 Second

KOTA KINABALU: Sabah memerlukan tambahan doktor pakar untuk memenuhi keperluan di Pusat Jantung Negara yang akan dinaik taraf di Hospital Queen Elizabeth 2 (QEH2), di sini, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib.

Beliau berkata, pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pewujudan Pusat Jantung Negara di Sabah adalah berita gembira untuk rakyat Sabah namun tambahan doktor pakar diperlukan untuk pusat ini.

“Perdana Menteri baru-baru ini telah pun memberikan satu berita gembira kepada rakyat Sabah terutama sekali kepada mereka yang mempunyai masalah jantung, dengan adanya Pusat Jantung Sabah yang ditempatkan di QEH2.

“Justeru, pusat ini juga akan menambah pakar-pakar jantung dari Semenanjung untuk berkhidmat di Pusat Jantung ini jadi sekurang-kurangnya dapat meringankan beban para doktor yang bertugas di pusat bahagian jantung ini,” katanya pada sidang media di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri, Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah di sini, hari ini.

James berkata, di Sabah juga ada mempunyai doktor pakar jantung tetapi tidak mencukupi.

“Sebenarnya, kita sudah ada pakar jantung di Sabah ini tapi tidak mencukupi, ketua pakar ada seorang dibantu oleh pakar lain dan boleh dikatakan kita ada cuma lima pakar di sini tetapi pakar yang berlainan, antaranya pakar bius dan dua pakar kanak-kanak dan seorang pakar jantung serta seorang pakar pembedahan,” jelasnya.

Tambah beliau, Pusat Jantung ini juga sekali gus akan meringankan beban rakyat Sabah yang mempunyai masalah jantung kerana tidak perlu lagi dihantar ke Kuala Lumpur untuk menerima rawatan lanjut.

Dalam pada itu, James turut memaklumkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor telahpun mewartakan sebidang tanah seluas 10 ekar untuk membina Institut Jantung di negeri ini.

“Sebenarnya Ketua Menteri Sabah telahpun mewartakan sebidang tanah seluas 10 ekar di Likas khas untuk membina bangunan Institut Jantung ini, perkara ini telahpun disuarakan dalam mesyuarat kabinet supaya kita ada sebuah tapak untuk bina Institut Jantung Negara, Sabah di likas.

“Kita tengok kesesuaiannya sebab sebenarnya Pusat Jantung ini mesti berdekatan dengan hospital, kita ada tanah di belakang QEH2 ini tapi sekarang tanah ini milik Qhazanah Sabah Berhad, jadi saya difahamkan, sekarang kita sedang berunding dengan Qhazanah untuk pembinaan bangunan tersebut,” jelas beliau lagi.

Sebelum ini, Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Kebangsaan baru-baru ini berkata, Pusat Jantung Negara di Sabah itu bakal menjadi pusat rawatan jantung kedua terbesar di Malaysia selepas Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur.

RELATED ARTICLES
Utama

Membakut dilanda banjir, 24 KIR ditempatkan di PPS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular