HomeUtamaPETRONAS menyumbang untuk kesihatan dan pendidikan di Sabah

PETRONAS menyumbang untuk kesihatan dan pendidikan di Sabah

Read Time:1 Minute, 39 Second

KOTA KINABALU: PETRONAS melalui cabang impak sosialnya Yayasan PETRONAS, telah menyampaikan sumbangan 250 unit pam infusi desferal kepada Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) yang akan digunakan bagi merawat pesakit talasemia.

Pada masa yang sama, PETRONAS melalui anak syarikatnya PETRONAS Floating LNG turut menyampaikan tajaan pendidikan kepada 24 pelajar Tingkatan 4 di Sabah.

Menerusi kenyataan Komunikasi Media, Perhubungan dan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS hari ini, tajaan ini merupakan kesinambungan kepada program Memperkasakan Ilmu yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Sabah serta Yayasan Sabah sejak tahun lepas, dan bertujuan memupuk bakat tempatan bagi menyokong pertumbuhan dan pembangunan tenaga kerja jangka panjang di Sabah.

Penyampaian sumbangan serta tajaan berkenaan berlangsung sempena Majlis Ramah Mesra Hari Raya PETRONAS Sabah di sini, hari ini, disaksikan Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun, diiringi Pengerusi PETRONAS Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS Shariah Nelly Francis menyerahkan sumbangan peranti perubatan berkenaan kepada Pengarah YKS Dayang Rugayah Awang Besar manakala Naib Presiden Kanan Aset LNG PETRONAS Abang Yusuf Abang Puteh menyampaikan tajaan kepada pelajar.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS Shariah Nelly Francis (kiri) menyerahkan sumbangan peranti perubatan berkenaan kepada Pengarah YKS Dayang Rugayah Awang Besar sambil disaksikan Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun (barisan belakang, empat kiri) dan Pengerusi PETRONAS Tan Sri Mohd Bakke Salleh (barisan belakang, dua kiri) serta dif-dif jemputan lain. – Foto ihsan PETRONAS

Sumbangan peranti perubatan itu adalah sebahagian daripada program Memacu Kehidupan oleh Yayasan PETRONAS yang dilaksanakan dengan kerjasama YKS dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah bagi membantu meringankan beban penghidap talasemia dalam mendapatkan rawatan.

YKS akan meminjamkan pam infusi berkenaan kepada pesakit talasemia di seluruh negeri terutamanya mereka yang tidak mampu membeli peranti mereka sendiri, bagi membolehkan mereka menjalani infusi desferal di rumah.

Turut hadir Pengurus Besar Kanan, Komunikasi Strategik, Perhubungan dan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Siti Azlina Abdul Latif, Pengurus Besar, Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab dan Pengurus Besar Komunikasi Media, Perhubungan dan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Jalina Joheng.

RELATED ARTICLES
Utama

Hajiji terima kunjungan hormat delegasi US-ASEAN Business Council

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular