HomeUtamaPelajar Sabah di KUIPs turut terima manfaat bantuan subsidi tiket penerbangan

Pelajar Sabah di KUIPs turut terima manfaat bantuan subsidi tiket penerbangan

Read Time:1 Minute, 49 Second

Kuala Perlis : Pelajar Sabah yang menuntut di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) kini boleh memohon bantuan subsidi tiket penerbangan yang diumumkan Kerajaan Sabah sebelum ini.

Rektor KUIPs Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle berkata, sehingga kini lebih 50 peratus pelajar Sabah sedang menuntut di KUIPs menerusi pelbagai program yang ditawarkan.

“Pihak kami merakamkan penghargaan terima kasih kepada Kerajaan Sabah kerana memberi pelajar KUIPs khususnya dari Sabah untuk turut menikmati bantuan subsidi tiket penerbangan seperti yang diumumkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor baru-baru ini.

“Kita turut berharap agar bantuan subsidi ini dapat meringankan beban pelajar untuk pulang ke kampung khususnya pada musim perayaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 25 Mac lalu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk bantuan subsidi tiket penerbangan kepada semua pelajar Sabah yang belajar di IPT awam dan swasta di Semenanjung, Sarawak dan Labuan.

Bantuan sekali bayar sebanyak RM600 seorang itu adalah dana daripada peruntukan khas Ketua Menteri.

Dalam pada itu Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Roshaizam Izuddin berkata, pengumuman itu pastinya memberi kelegaan kepada pelajar dari negeri itu.

“Perbelanjaan tiket penerbangan terutama musim perayaan harganya berlipat ganda namun dengan tawaran dari kerajaan negeri Sabah ini pastinya melegakan rakan-rakan dari negeri itu,” katanya.

Pelajar Program Pengajian Islam dari Kota Marudu Datu Noor Aiman Abdullah,23, berkata, pemberian subsidi itu memberi peluang kepadanya untuk pulang berjumpa bapanya  terutama pada cuti semester atau perayaan.

“Sejak kehilangan ibu 17 tahun lalu bapa saya tinggal bersama tiga adik dan pastinya berita ini mengembirakan mereka juga,” katanya.

Bagi Suhana Omar,21, pelajar program perbankan dan kewangan yang sebelum ini pernah mengisi permohonan secara atas talian tetapi gagal gembira apabila percubaan kali kedua itu menunjukkan KUIPs tersenarai dalam permohonan yang ditawarkan itu.

“Saya amat gembira bila dapat mengisi permohonan ini selepas dimaklumkan oleh rakan dari Sabah juga,” katanya.

Nurul Amni Mohd Amin,19, yang berasal dari Papar berkata, berita ini pastinya mengembirakan semua pelajar terutama dari KUIPs yang berasal dari Sabah.

“Setiap kali cuti semester dan perayaan perasaan kami terganggu kerana susah untuk mendapatkan tiket penerbangan yang murah tetapi dengan tawaran subsidi dari kerajaan Sabah ini pastinya mengembirakan kami semua,”katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Umat Islam dinasihatkan tunai zakat tanpa kerisauan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular