HomeUtamaKerajaan laksana pelbagai inisiatif bagi meningkatkan SSL

Kerajaan laksana pelbagai inisiatif bagi meningkatkan SSL

Read Time:1 Minute, 43 Second

Ranau : Kerajaan mengambil pelbagai inisiatif bagi meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) hasil pertanian terutamanya padi bagi memperkukuhkan keterjaminan makanan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan negeri telah mewujudkan Jawatankuasa Pengurusan Tertinggi di peringkat MAFFI bagi membincangkan dan menangani isu-isu berkaitan keterjaminan makanan.

“Ini kerana negeri Sabah pada masa ini hanya mencapai tahap sara diri sebanyak 22.8 peratus sahaja dan selebihnya masih bergantung kepada bekalan beras dari sumber luar atau beras import. Dalam masa sama, keadaan cuaca yang tidak menentu amat memberi kesan terhadap hasil pertanian, termasuk di negeri ini.

“Justeru, pada 17 April lalu, Kabinet negeri bersetuju menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah sebagai sebahagian inisiatif meningkatkan pengeluaran dan keselamatan makanan di negeri ini. Ia juga antara usaha kerajaan negeri meningkatkan tahap sara diri beras.

“Selain itu, pemberian insentif Pembajakan Sawah Padi dengan peruntukan sebanyak RM18 juta antara inisiatif yang dilaksanakan dalam Bajet 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Masyarakat Ranau di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

Hajiji berkata, inisiatif lain yang turut diambil termasuk  pemulihan tanah sawah terbiar, pembangunan padi tanah kering, penambahan bilangan jentera pembajak dan jentuai, pemberian baja pada kadar optimum serta pemberian subsidi penjualan padi kepada semua pengusaha dengan peruntukan RM5.16 juta.

Katanya, bagi meningkatkan lagi pengeluaran tanaman, kerajaan negeri melalui syarikat berkaitan kerajaan seperti syarikat Sawit Kinabalu turut mengambil bahagian dalam penanaman padi dengan kaedah moden untuk meningkatkan tanaman dan bekalan beras tempatan.

Menurutnya, Sawit Kinabalu telah menyediakan kawasan yang sesuai khusus bagi tujuan tanaman padi.

“Ini adalah sebahagian daripada inisiatif kita dan banyak lagi yang lain akan dilaksanakan bagi memastikan pengeluaran serta keterjaminan makanan di negeri ini.

“Saya juga berharap pemain-pemain sektor pertanian, penternakan, dan perikanan, untuk terus meningkatkan pengeluaran hasil bagi menyediakan bekalan makanan mencukupi, kepada masyarakat dan paling penting ambil segala peluang menerusi pelbagai inisiatif yang disediakan kerajaan negeri,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO JKM

RELATED ARTICLES
Utama

Lebih 5,000 pelajar telah terima manfaat menerusi TPNS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular