HomeUtamaBakal jemaah haji Sabah perlu siapkan diri dari aspek mental, kekuatan fizikal

Bakal jemaah haji Sabah perlu siapkan diri dari aspek mental, kekuatan fizikal

Read Time:1 Minute, 39 Second

Kota Kinabalu:  Bakal jemaah haji khususnya dari negeri ini diminta untuk mempersiapkan diri sama ada daripada aspek mental, kekuatan fizikal dan kefahaman jelas berhubung ibadah haji yang bakal dilaksanakan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bakal jemaah haji juga perlu menjaga kesihatan diri dengan melakukan senaman ringan dan mengambil makanan sihat.

Katanya, ini adalah bagi memastikan bakal jemaah haji terus kekal sihat sepanjang berada di tanah suci.

“Para jemaah haji Malaysia adalah antara jemaah yang berdisiplin dan sentiasa patuh kepada peraturan-peraturan yang dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi dan juga Tabung Haji (TH).

“Saya berharap bakal jemaah haji dari negeri ini juga akan mengekalkan disiplin diri semasa berada di tanah suci nanti dan terus menjaga nama baik negara.

“Bakal haji juga diingatkan untuk tidak meninggalkan senjata yang utama sebagai seorang Muslim dan mukmin iaitu sentiasa berdoa dan meletakkan pengharapan serta kebergantungan yang penuh kepada Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Kursus Perdana Haji (KPH) peringkat negeri Sabah (Zon Pantai Barat) Musim Haji 1445H / 2024M di Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Hadir sama, Ketua Perundangan dan Sekretarial Kumpulan Jabatan Perundangan dan Sekretarial Lembaga Tabung Haji Mohd Shuhaimi Ismail; Pengarah TH Wilayah Sabah dan Sarawak Datuk Nurlaila Said dan Pengarah TH Sabah Ysudi Nasip.

Seramai lebih 400 bakal jemaah haji menyertai kursus berkenaan yang diadakan selama dua hari bermula hari ini sehingga esok.

Hajiji berkata, pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan TH yang sentiasa peka dan mengambil berat tentang kebajikan jemaah haji dari pelbagai aspek khususnya dalam soal ibadat.

“Saya turut difahamkan pada musim ini, TH terus menambah baik inisiatif yang diperkenalkan pada musim lalu untuk memudahkan urusan bakal haji di Tanah Suci,” katanya.

Terdahulu, kursus yang diadakan itu memberi lebih fokus kepada latihan praktikal manasik haji seperti tawaf, sa’ie, berwukuf dan melontar jamrah, sekali gus memberi sedikit sebanyak gambaran suasana sebenar di tanah suci. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular