Kota Kinabalu : Jejantas Skybridge yang menghubungkan laluan masuk ke pusat membeli belah Centre Point Sabah (CPS) mula dibuka kepada pengguna sejak Jumaat lalu.
Pembinaan ‘link bridge’ atau jejantas penghubung ke bangunan CPS itu dibina oleh Centre Point Management Corporation bermula pada Jun 2022.
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam satu kenyataan memaklumkan perakuan penyiapan dan permohonan Sijil Menduduki (OC) hanya diterima daripada Konsultan Projek tersebut pada 02 Mei 2024.
Menurut kenyataan itu, DBKK telah mengeluarkan OC pada 03 Mei lalu.
Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Sabin Samitah berkata, pihaknya berharap dengan pembukaan jejantas menghubungi bangunan CPS akan memberi kemudahan yang lebih selesa dan selamat kepada pengunjung.
“Sudah tentu kita mahu para pengunjung mendapat keselesaan dan selamat untuk ke pusat-pusat komersil sekitarnya seperti Asia City, Api-api Centre, Warisan Square dan Oceanus Mall; tanpa perlu melintas jalan raya,” katanya.
Jejantas bernilai RM31.5 juta itu dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada 3 September 2021.
Jarak jejantas itu adalah sepanjang 400 meter dan dilengkapi dengan 20 kiosk niaga berhawa dingin, escalator dan lif untuk golongan kelainan upaya (OKU). – SABAH MEDIA / FOTO DBKK