HomePendapatSabah berhak terima bayaran Geran Khas Tahunan pada kadar 40 peratus

Sabah berhak terima bayaran Geran Khas Tahunan pada kadar 40 peratus

Read Time:6 Minute, 22 Second

Oleh WAN AZRAIN ADNAN

1.        Pada pertengahan Mac 2024, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia telah mengumumkan Laporan Kebahagian Malaysia 2024. Pengumuman tersebut di buat sempena sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024.

2.        Sejak tahun 2015, Malaysia telah mula menyambut Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Kebangsaan secara rasmi. Pada 20 Mac setiap tahun, Hari Kebahagiaan Sedunia di sambut di seluruh dunia sebagai meraikan dan mengiktiraf hubungan keseimbangan pembangunan fizikal, sosial dan alam sekitar untuk kebahagian dan kesejahteraan penduduk.

3.        Fakta menarik: Laporan Kebahagian Malaysia 2024 di terbitkan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia (KPKT). Laporan berkenaan di sediakan berdasarkan kriteria dan garis panduan yang di tetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

4.        Secara ringkasnya, laporan tersebut merangkumi 14 Komponen Penilaian yang melibatkan pelbagai aspek kehidupan penduduk, antaranya: tahap stress dan kesihatan, pengurusan kewangan, keselesaan dan keselamatan tempat tinggal, kemudahan awam dan infrastruktur, serta perkhidmatan pemimpin tempatan.

Sumber: Portal Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, KPKT

5.        Laporan Kebahagian Malaysia 2024 telah menobatkan Negeri Sembilan sebagai negeri yang paling bahagia di Malaysia, dan Sarawak sebagai negeri paling tidak bahagia.

Sumber: Laporan Kebahagian Malaysia 2024

6.        Manakala, Sabah pula berada di tangga ke-3 paling tidak bahagia. Adalah tidak mengejutkan ramai rakyat Sabah tidak begitu bahagia memandangkan kualiti kehidupan di Sabah yang masih rendah, berbanding dengan tahap pembangunan sosio-ekonomi di lain-lain tempat di Malaysia.  

7.        Ketika ini, ramai rakyat Sabah memperolehi pendapatan yang rendah. Menurut Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) bagi Suku Ketiga 2023 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), upah pekerja di Sabah adalah ke-3 terendah di Malaysia, selepas Kelantan dan Perlis.

8.        Median atau Penengah upah pekerja di Sabah hanyalah RM 1,800 sebulan, iaitu perbezaan sebanyak RM 2,000 (111%) dengan median upah tertinggi di Malaysia (W.P. Kuala Lumpur: RM 3,800).

9.        Sebagai perbandingan, di Sabah, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) di tetapkan sebanyak RM 2,742 sebulan. Manakala, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan pula adalah RM 1,218 sebulan.

Ini bermakna ramai pekerja di Sabah memperolehi pendapatan jauh di bawah garis kemiskinan.

              Sumber: Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) bagi Suku Ke-3 2023: DOSM

10.      Oleh kerana itu, ramai rakyat Sabah masih menjalani kehidupan di dalam penjara kemiskinan, dari generasi ke generasi. Laporan Kemiskinan Di Malaysia 2022 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia(DOSM) telah menunjukkan Sabah memiliki jumlah kemiskinan tertinggi di Malaysia untuk tahun 2019 dan 2022.

11.      Di samping itu, kadar pengganguran di Sabah adalah yang tertinggi di Malaysia untuk sekian lama: 5% (2015), 5.4% (2016), 5.6% (2017), 5.8% (2018), 5.8% (2019), 8.0% (2020), 8.2% (2021), 7.7% (2022). Manakala, untuk suku ke-3 2023, kadar pengganguran di Sabah ialah 7.5%.

12.      Situasi ini seumpama peribahasa ‘Sudah Jatuh Di Timpa Tangga’. Sudahlah ramai rakyat di Sabah tiada pekerjaan. Jika ada pekerjaan pun, gaji yang di perolehi pula amat rendah dan berada di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).

13.      Pada masa yang sama, rakyat Sabah masih belum dapat menikmati kemudahan dan infrastruktur awam yang baik dan mencukupi. Ini termasuklah: jalan raya, elektrik, air, hospital dan sekolah. Isu-isu legasi ini memerlukan dana yang besar dan tempoh masa yang lama untuk di selesaikan secara menyeluruh. Sehingga itu, rakyat Sabah terpaksa mengguna-pakai apa yang ada untuk kehidupan seharian.

14.      Lebih malang, ramai pelajar di Sabah tidak dapat belajar dengan selesa berikutan banyak sekolah yang memiliki infrastruktur yang daif dan tidak selamat, serta kelengkapan sekolah yang tidak mencukupi. Menurut rekod Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) 2022, daripada sejumlah 1,292 sekolah di Sabah, lebih 50% sekolah telah di kenal-pasti sebagai daif dan memerlukan penyelenggaraan segera.

15.      Memburukkan lagi situasi, rakyat Sabah terpaksa ‘berkongsi’ kemudahan dan infrastruktur awam berkenaan dengan penduduk bukan warganegara tanpa dokumen yang begitu ramai di Sabah. Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2022, daripada sejumlah 3.39 juta orang penduduk Sabah, 22% (0.736 juta orang) adalah penduduk bukan warganegara. Malah, di daerah Kinabatangan dan Kalabakan, majoriti penduduk adalah bukan warganegara, iaitu melebihi 65%.

16.      Berdepan dengan suasana serta kualiti kehidupan yang sangat mencabar, ramai rakyat Sabah sebenarnya menderita kesihatan mental. Pada Oktober 2022, Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memaklumkan bahawa Sabah adalah antara negeri yang mencatatkan kes kemurungan tertinggi di Malaysia.

17.      Malah, laporan Tinjauan Kesihatan & Morbiditi Kebangsaan/ National Health & Morbidity Survey (NHMS) 2015 turut menunjukkan Sabah mencatatkan isu kesihatan mental tertinggi di Malaysia.

18.      Namun begitu, kehidupan rakyat Sabah di jangka bertambah sejahtera di bawah agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) yang di laksanakan oleh Kerajaan Sabah sejak tahun 2021. Dalam tempoh masa yang singkat, SMJ telah menghasilkan pelbagai kejayaan yang memberangsangkan, dan seterusnya meletakkan Sabah di landasan pembangunan sosio-ekonomi yang kukuh dan pesat. 

19.      Pada April 2024, semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, Ketua Menteri Sabah telah memaklumkan bahawa jumlah kemiskinan tegar di Sabah telah menurun dari 22,510 isirumah pada tahun lepas kepada 12,555 ketika ini, iaitu penurunan sebanyak 44% (9,955).        

20.      Tambahan lagi, indikator ekonomi Sabah juga bertambah baik, antaranya:

  • Pertumbuhan ekonomi: Pada tahun 2024, ekonomi Sabah di jangka berkembang sekitar 4%, setelah mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang perlahan: 1.5% (2018), 0.7% (2019), -9.2% (2020), 1.5% (2021), 3.7% (2022).
  • Belanjawan Tahunan: Kerajaan Sabah telah berjaya membentangkan Belanjawan Lebihan/ Surplus Budget untuk empat tahun berturut-turut (2021 – 2024). Malah, Belanjawan Sabah 2024 merupakan belanjawan terbesar Sabah sejak merdeka.
  • Rizab Kewangan: Pada tahun 2023, Sabah memiliki Rizab Kewangan atau simpanan tunai berjumlah RM 6.78 billion, jauh lebih tinggi berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia seperti Selangor (RM 3.35 billion) dan Johor (RM 1.38 billion).

21.      Hakikatnya, berdepan dengan pelbagai cabaran berkenaan, rakyat Sabah sudah lama tidak bahagia dan berkemungkinan besar akan terus tidak bahagia untuk jangka masa yang lama lagi.

22.      Tetapi ada satu perkara yang dapat memberikan kebahagian segera kepada rakyat Sabah. Iaitu pembayaran penuh Geran Khas Tahunan oleh Kerajaan Malaysia kepada Sabah. Seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, Sabah berhak menerima pembayaran Geran Khas Tahunan pada kadar dua perlima (40%) daripada hasil yang di perolehi oleh Kerajaan Malaysia dari Sabah.

23.      Malangnya, Geran Khas Tahunan berkenaan telah gagal di bayar sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia kepada Sabah sejak tahun 1973, iaitu lebih 50 tahun dahulu. Ini telah merencatkan agenda pembangunan sosio-ekonomi Sabah, serta menjejaskan kesejahteraan dan kebahagian rakyat Sabah. Malah, rakyat Sabah merasa amat dukacita dan tertipu kerana hak mereka telah di pinggirkan untuk tempoh masa yang begitu lama. 

24.      Kini, berdasarkan hasil aktiviti ekonomi Sabah seperti minyak & gas serta kelapa sawit, Geran Khas Tahunan berkenaan di anggarkan bernilai beberapa billion ringgit setahun.

25.      Sekiranya Geran Khas Tahunan berkenaan di bayar sepenuhnya, sudah pasti rakyat di seluruh pelosok Sabah, di bandar dan luar bandar, di pulau dan juga di gunung, akan bergembira dan merasa amat bahagia.

26.      Tunaikan hak rakyat Sabah. Not a penny more, not a penny less.

RELATED ARTICLES
Pendapat

Kerajaan wajar perkasa Kolej Komuniti agar jadi pilihan rakyat dapatkan latihan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular