HomeUtamaUmat Islam dinasihatkan tunai zakat tanpa kerisauan

Umat Islam dinasihatkan tunai zakat tanpa kerisauan

Read Time:2 Minute, 11 Second

Kota Kinabalu:   Umat Islam khususya di negeri ini dinasihatkan agar terus menunaikan tanggungjawab dengan mengeluarkan zakat tanpa sebarang kerisauan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) yang bertanggungjawab menguruskan zakat dan fitrah di bawah Enakmen Zakat dan Fitrah 1993, mengagihkan zakat yang kepada golongan yang berhak menerima.

“Saya ingin menegaskan, pada tahun lepas kutipan zakat oleh MUIS berjumlah RM145 juta meningkat RM15 juta.

“Alhamdulillah, pada tahun lalu, 97 peratus telah kita agihkan. Kita kutip RM145 juta kita agihkan RM142 juta. Jadi, kepada umat Islam jangan risau, zakat yang anda tunaikan kita agihkan pada tahun berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Bank Rakyat bagi tahun 2023 di Istana Seri Kinabalu, di sini semalam.

Arifin yang juga Exco Agama dan Exco Pendidikan Negeri Sabah berkata, jumlah pungutan zakat oleh agensi itu setakat 19 Mei lalu ialah RM46,779,145.63 manakala jumlah agihan kini mencecah RM42,195,277.13.

“Pada tahun ini, kita telah mengutip RM46 juta sehingga Mei, RM42 juta sudah kita agihkan dan inilah buktinya bahawa zakat yang disampaikan kepada MUIS berdasarkan enakmen yang ada mesti ditunaikan oleh MUIS.

“Kita agihkan kepada golongan asnaf yang berkenaan, mudah-mudahan pada tahun ini akan bertambah zakat ini dan kita agihkan,” katanya.

Beliau berkata, dua penyumbang besar dalam zakat iaitu zakat penggajian dengan potongan gaji oleh pegawai-pegawai dari sektor kerajaan serta swasta dan zakat perniagaan. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Syariah Bank Rakyat Mohd Zamery Abdul Razak menzahirkan ucapan terima kasih atas kerjasama kerajaan Sabah yang membolehkan bank itu mencatat peningkatan jumlah zakat pada tahun lepas.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri serta MUIS atas kerjasama selama ini dan sokongan yang padu kepada Bank Rakyat sehingga dapat kita lihat dengan peningkatan jumlah zakat yang dibayar pada tahun ini.

“Sebenarnya, peningkatan ini terhasil daripada peningkatan jumlah keuntungan operasi di Sabah. Kaedah pengiraan di Bank Rakyat ini ialah kita mengagihkan zakat mengikut keuntungan operasi negeri.

“Kalau di Sabah ini keunutungan operasinya meningkat, maka zakatnya pun akan meningkat secara automatik,” katanya.

Terdahulu, pada majlis itu, Mohd Zamery menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1,352,340.00 kepada Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri  Yahya Hussin dan disaksikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua MUIS, Datuk Malai Ali Malai Ahmad, Setiausaha MUIS, Ramlan Awang Ali, Ketua Bahagian Zakat dan Fitrah Iwansuzairie Hari, Pengarah Wilayah Borneo Bank Rakyat Saini Hammade, Naib Presiden Syariah (Bukan Operasi Perbankan), Mohd Hanafiah Mohd Nawawi, Ketua Wilayah Sabah Bank Rakyat Md Azmi Mohd Taib dan Pengurus Cawangan Kota Kinabalu, Suhaimi Jainullah.

RELATED ARTICLES
Utama

Gagasan Rakyat Likas jadi rakan strategik DBKK bagi penduduk di DUN...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular