HomeUtama40 peratus hasil Sabah: Pendapat pelbagai versi disifatkan membelakang pimpinan Kerajaan...

40 peratus hasil Sabah: Pendapat pelbagai versi disifatkan membelakang pimpinan Kerajaan negeri

Read Time:1 Minute, 46 Second

Kota Kinabalu : Perdebatan isu berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah  dalam pelbagai versi dari kalangan pemimpin politik di negeri ini disifatkan telah membelakangkan kepimpinan utama Kerajaan negeri.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib berkata, kenyataan yang dikeluarkan pemimpin tertentu turut dilihat memperlekehkan peranan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berhubung isu berkenaan.

“Ketua Menteri merupakan pemimpin yang lebih awal membawa isu ini ke peringkat tertinggi di Persekutuan untuk menuntut hak-hak tersebut. 

“Beliau menuntut dengan cara lebih harmoni tanpa mengeruhkan suasana dan hubungan baik dengan kerajaan pusat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

James yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut berkata, secara dasar pimpinan Kerajaan negeri dilihat bersifat terbuka bagi mendengar idea dan pandangan berhubung isu tersebut, namun ianya tidak perlu sehingga ada pihak yang ingin menjadi ‘Hero’ .

Katanya, perbezaan pendapat turut dilihat akan mewujudkan perang persepsi yang mengeruhkan keadaan dan kelancaran bagi menuntut hak-hak Sabah seperti mana yang termaktub dalam Perkara 112C Dan 112D Perlembagaan Persekutuan. 

“Ada pihak yang tidak sedar Ketua Menteri Sabah sebenarnya bekerja keras dibelakang tabir untuk memastikan tuntutan hak-hak Sabah terus ditunaikan Persekutuan. 

“Beliau tidak perlu banyak cakap dalam hal itu kerana apa yang penting bagi beliau, hasil daripada perjuangan itu wajar dikongsi kepada seluruh rakyat negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, mengenaitindakan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) membawa isu ke Mahkamah, James turut mengingatkan agar tindakan itu dilaksanakan dengan lebih berhemah agar fakta-fakta mereka tidak menjadi bahan pengadilan media sosial yang seterusnya memberi gambaran berbeza-beza pihak berkepentingan. 

“Lihat sahaja situasi di mahkamah baru-baru ini, ramai hadir tetapi adakah mereka benar-benar memahami apa isu sebenar yang berlaku dalam prosiding mahkamah itu atau mereka hadir disebabkan beberapa pemain media sosial menabur fakta gempak untuk meraih sokongan,” katanya.

Sementara itu, beliau mengajak seluruh pemimpin negeri ini agar memberikan sokongan padu kepada kepimpinan Ketua Menteri Sabah dalam menuntut hak negeri ini dan mengenepikan ideologi politik  bagi menguatkan lagi suara tuntutan. 

“Ayuh kita bersama-sama ketua kepimpinan kerajaan negeri Sabah berdiri sebagai tonggak sokongan tanpa memikirkan kita dari parti mana pun,” katanya. – SABAH MEDIA 

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular