HomeUtamaRM99.05 juta untuk bangun sub sektor ternakan Sabah

RM99.05 juta untuk bangun sub sektor ternakan Sabah

Read Time:3 Minute, 11 Second

Kota Kinabalu : Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM99.05 juta untuk sub sektor ternakan bagi perbelanjaan mengurus dan pelaksanaan 43 projek pembangunan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia adalah bertujuan bagi meningkatkan keterjaminan makanan berasaskan ternakan yang berkualiti serta meningkatkan tahap keselamatan makanan.

Katanya, pelbagai program juga dilaksanakan bagi membantu para pengusaha dalam industri ternakan untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran dan pendapatan pada tahun ini.

Menurutnya, Kerajaan negeri akan terus memastikan peranan sokongannya dalam menyediakan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik bagi menyokong Agro-integrasi bekalan rantaian nilai makanan.

“Kerajaan juga akan memastikan semua syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLC) yang terlibat dalam sektor pengeluaran agro-makanan akan saling melengkapi untuk mencapai sinergi yang optimum,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Malam Apresiasi DESA 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini semalam.

Hajiji berkata, syarikat kumpulan DESA telah mencapai pertumbuhan perniagaan yang stabil dengan kedudukan kewangan yang kukuh sejak tahun 2012 sehingga kini.

Katanya, ia  melalui pelaksanaan pelbagai pemulihan perniagaan dan strategi penstrukturan semula kewangan yang sebahagian besarnya dibiayai oleh rizab tunai yang dijana secara dalaman.

“Saya percaya ini adalah hasil daripada pengurusan dana dan perancangan strategik yang sangat berkesan dan cekap oleh lembaga dan pengurusan DESA.

“DESA kekal bergerak maju dalam pemodenan dan pembangunan perniagaan serta dapat memberi pulangan positif kepada pelaburan pemegang saham. Sehingga kini, DESA telah memberi dividen sebanyak RM30.5 juta kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Menurutnya, syarikat kumpulan DESA memainkan peranan penting dalam mengubah sektor pertanian Sabah, terutama sub-sektor ternakan menjadi sektor yang moden, dinamik dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

2

Beliau percaya, kejayaan DESA mengambil alih Projek Pusat Ternakan Bersepadu Keningau KILC daripada Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) pada Julai 2021, dapat membantu menerajui industri ruminan di negeri ini.

Katanya, DESA merupakan antara pengeluar utama ayam dan susu segar di Sabah perlu terus meningkatkan produktiviti dan menghasilkan produk berkualiti, mengembangkan kapasiti pengeluaran serta teknologi penternakan moden untuk menyokong ternakan ayam dan ternakan yang intensif serta mampan di negeri ini.

“Saya percaya ia dapat dilakukan kerana DESA telah melaksanakan projek pemodenan infrastruktur dan fasiliti pengeluaran di beberapa  premis DESA dalam perniagaan ternakan unggas dengan kos sebanyak RM18 juta sejak lima tahun lalu.

“Antaranya ialah penambahbaikan fasiliti kilang penyembelihan ayam di Lok Kawi, pembinaan semula dan penambahan kandang ayam moden di Kabang, Papar, pembinaan perumahaan/kuarters baharu untuk pekerja ladang di Bongawan, selain pemodenan kandang ayam,” katanya.

Hajiji berkata, DESA juga telah meningkatkan kapasiti pengeluaran hasil ternakan tenusu dan agro pelancongan di Mesilau dengan melaksanakan projek pembinaan tambahan kandang lembu tenusu dengan kos sebanyak RM8 juta yang dilengkapi dengan peralatan moden bagi memastikan ‘animal welfare’ dan ‘cow comfort’ terjaga, dengan muatan sehingga 200 ekor lembu.

Katanya, perancangan pembangunan ‘New Farm Shop’ dan penambahan kawasan aktiviti pelawat serta tempat letak kereta untuk memastikan kemudahan pelawat ke DESA Dairy Farm dengan belanja sebanyak RM7.8 juta dapat menampung lebih ramai pelawat yang berkunjung ke kawasan itu.

Dalam pada itu, Hajiji juga mahu DESA terus melaksanakan strategi perniagaan efektif untuk meningkatkan jualan, menambah nilai jenama DESA dari segi pemasaran, peruncitan dan kepelbagaian produknya, termasuklah membuka lebih banyak kedai DESA Fresh Mart (DFM) di negeri ini bagi membolehkan produk DESA mampu dipasarkan kepada pelanggan dan pengguna dengan lebih meluas.

Katanya, sejak tahun 2020, lima buah DFM telah dibuka oleh DESA di Kota Belud, Ranau, Papar, Tuaran dan Sulaman, manakala di Kudat akan dibuka pada hujung bulan ini serta di Beaufort dan Tenom pada tahun ini.

Tambahnya, ia menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 20 buah kedai DFM, termasuk satu dairy kiosk (DESA MOO) di Imago Shopping Mall.

Hajiji berharap Lembaga Pengarah dan Pengurusan Kumpulan DESA terus membantu dalam membangunkan industri pertanian khususnya pembangunan agromakanan di Sabah, selain terus melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) khususnya dalam membantu kebajikan pekerjanya. – SABAH MEDIA / FOTO JKM

RELATED ARTICLES
Utama

Gagasan Rakyat Likas jadi rakan strategik DBKK bagi penduduk di DUN...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular