Kota Kinabalu: Pembinaan masjid baharu untuk Kampung Sembulan di sini akan dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Arifin Mohd Arif berkata, pembinaan masjid itu adalah bagi menggantikan masjid yang sedia ada memandangkan bilangan jemaah kini telah melebihi kapasiti terutama Solat Jumaat.
“Hari ini saya melawat Masjid kariah Sembulan, sebuah masjid yang bersejarah di sinilah bermulanya Masjid Negeri Sabah yang pertama. Saya melawat beberapa kali masjid ini dan masjid ini antara masjid yang mempunyai ramai jemaah dan perlu untuk kita menaik taraf.
“Bagi Solat Jumaat, lebih 1,000 jemaah bukan sahaja masyarakat dari sekitar Sembulan pekerja dan kakitangan dari pejabat berdekatan juga solat jumaat di masjid ini. Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada jawatankuasa masjid ini kerana sentiasa memberi perhatian kepada pengimarahan masjid dan saya melawat subuh masjid ini antara masjid yang ramai jemaahnya.

“Kita sudah mencadang agar kita masukkan dalam RMK13, pembinaan sebuah masjid baharu untuk kawasan Kg Sembulan ini bagi menggantikan masjid lama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan bersama agensi agama ke masjid tersebut, hari ini.
Arifin berkata, beberapa pembaikan dan naik taraf akan dilaksanakan sementara menunggu reka bentuk bagi pembinaan masjid baharu berkenaan.
“Sementara itu, kita juga akan membuat pembaikan yang perlu untuk masjid ini dengan melihat beberapa perkara yang perlu kita perbaiki dan naik taraf.
“Ada beberapa pembaikan misalnya bahagian atas bumbung masjid ini dan mungkin ada pendawaian yang perlu kita perbaiki selebihnya kita akan masukkan ke dalam RMK13 untuk pembinaan sebuah masjid baharu Sembulan.
“Kapasiti masjid ini akan bertambah lebih daripada kapasiti asal, dan kita akan mencari rekabentuk terbaik untuk masjid ini nanti,” katanya
Hadir sama dalam sesi lawatan tersebut Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Jumain Abdul Ghani.
Masjid Kampung Sembulan merupakan masjid negeri pertama sebelum berpindah ke Masjid Negeri yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman secara rasminya pada tahun 1977.