Kota Kinabalu : Satu lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gadong, Beaufort akan dilakukan dalam tempoh terdekat bagi meninjau keadaan bangunan sekolah yang dilaporkan mengalami kerosakan termasuk boleh membahayakan pelajar.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pihaknya akan bertemu Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Beaufort terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan selanjutnya.
“Saya akan dapatkan maklumat terperinci terlebih dahulu daripada PPD Beaufort dan berbincang dengan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS).
“Saya juga akan melawat sekolah berkenaan (SMK Gadong) dalam minggu ini dan kita akan cari jalan untuk bantu seperti mana kita bantu beberapa sekolah lain sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadalan lawatan ke Masjid Sembilan di sini pagi tadi.
Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agama Sabah berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar tempatan yang melaporkan sekolah berkenaan mengalami kebocoran pada bahagian bumbung selain ada beberapa kelas terpaksa dikosongkan kerana dinding dan siling mulai mereput akibat terkena hujan.
Bangunan terlibat juga turut menempatkan kelas Tingkatan Enam dan bilik guru yang usang.
Sebelum ini difahamkan bangunan SMK Gadong mula reput disebabkan bumbungnya yang telah tiada akibat ditiup angin dan siling bocor.
Arifin berkata, Kerajaan Sabah dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) mempunyai peruntukan bagi membantu menyelenggara sekolah yang memerlukan untuk dibaik pulih.
“Saya ingat JPNS juga ada peruntukkan untuk pembaikan kecil, manakala di Jabatan Ketua Menteri misalnya ada Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS) dan kita akan membantu,” katanya. – SABAH MEDIA