Semporna: Penggunaan senapang panah untuk menangkap ikan di dasar laut atau sungai diklasifikasikan sebagai senjata yang haram untuk digunakan.
Pengarah Jabatan Perikanan Azhar Kassim berkata, penggunaan alat itu juga turut menyalahi undang-undang di negara ini.
Katanya, penggunaan senapang panah adalah dilarang kerana ianya tiada lesen dikeluarkan pihak berkuasa sebagai kebenaran menggunakan senjata itu.
“Senapang panah ialah peralatan yang menyalahi undang-undang dan ia dilarang digunakan di mana-mana. Kita tidak mengeluarkan lesen untuk menangkap ikan mennggunakan senapang panah.
“Jika digunakan, ia dianggap menyalahi undang-undang, penangkapan ikan yang tidak dilaporkan dan tidak terkawal,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas satu video tular yang memaparkan seorang lelaki menangkap ikan menggunakan senapang panah.
Menerusi video yang tular itu melibatkan perbuatan menembak ikan menggunakan senapang panah yang dipercayai membabitkan sebuah pusat menyelam di Semporna.
Dalam video itu, lelaki yang memegang senapang panah terbabit turut dilihat menyentuh seekor penyu hijau yang disenaraikan sebagai spesies dilindungi sepenuhnya di bawah pindaan Enakmen Konservasi Hidupan Liar.
Azhar berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap kes itu selain memberi kesedaran mengenai larangan penggunaan peralatan berkenaan khususnya kepada operator pelancong.