HomeUtamaKolej Antarabangsa Teknikal MUIS bakal beroperasi tahun depan

Kolej Antarabangsa Teknikal MUIS bakal beroperasi tahun depan

Read Time:1 Minute, 37 Second

Selangor : Kolej Antarabangsa Teknikal Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) bakal beroperasi dan menjadi salah satu Institusi Pengajian Tinggi (IPT) pilihan di Sabah selepas mendapat kelulusan penubuhan dari Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Jumaat lalu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pada peringkat permulaan, kolej berkenaan akan beroperasi di Wisma MUIS selain mahu menjalin kerjasama dengan beberapa universiti tempatan dan luar negara.

“Kolej ini kita sudah terima surat kelulusan untuk mewujudkannya pada Jumaat lalu dan saya sendiri telah menerimanya daripada Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

“Justeru dengan itu kita akan membuat kolaborasi dengan universiti tempatan dan antabangsa bagi pengisian kepada kolej berkenaan kerana selain teknikal, kolej ini juga akan berhubung dengan bidang keagamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Jerayawara Biasiswa Kerajaan Negeri (BKNS) bersama anak-anak Sabah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam di sini hari ini.

Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agama berkata, jalinan kolaborasi itu termasuklah bersama Universiti Al-Azhar; Jabatan Kefatwaan di Mesir dan juga beberapa universiti lain di negara ini.

“Tadi saya juga ada berbincang dengan rektor UiTM, mudah-mudahan UiTM juga akan dapat membantu kita bersama-sama bekolaborasi untuk membangunkan pendidikan MUIS.  Fokus kita adalah kepada asnaf selain pelajar-pelajar lain,” katanya.

Kolej itu dijangka akan mula beroperasi pada awal tahun depan bertempat di tingkat satu Wisma MUIS.

Dalam pada itu, Zambry dalam hantaran di Facebook rasminya berkata, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri meliputi aspek pembangunan sosioekonomi dan pemeliharaan khazanah negara merupakan elemen penting dalam membina negara yang lebih utuh.

“Begitu juga dalam aspek pendidikan, KPT sentiasa terbuka menerima dan berkolaborasi dengan portfolio pendidikan tinggi di peringkat negeri bagi memastikan aspirasi pendidikan negara selari dan sekata.

“KPT sentiasa memberi komitmen untuk mengukuhkan lagi hubungan dan kedudukan bersama kerajaan negeri dalam memastikan IPT di Sabah terus melakar nama dengan jayanya,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular