HomeUtamaKomuniti Madani wujudkan komunikasi dua hala

Komuniti Madani wujudkan komunikasi dua hala

Read Time:1 Minute, 36 Second

Kota Kinabalu : Penubuhan Komuniti Madani dilihat akan dapat mewujudkan komunikasi dua hala di antara kerajaan dan rakyat.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, hubungan erat di antara Komuniti Madani dan kerajaan dapat mewujudkan sinergi yang baik.

“Pada hari ini (semalam) saya mengambil sedikit masa bertemu dengan pengerusi dan wakil Komuniti Madani untuk bertukar fikiran, menjawab persoalan, menyampaikan pandangan dan meneliti masalah yang dibangkitkan.

“Saya berharap agar hubungan di antara Komuniti Madani dengan kerajaan akan dapat wujudkan satu sinergi yang baik di mana rakan-rakan Komuniti Madani dapat membantu menyampaikan maklumat ke peringkat akar umbi.

“Di samping itu, Komuniti Madani juga dapat menyalurkan isu-isu yang dihadapi oleh peringkat akar umbi sehingga sampai ke pejabat saya.

“Ini yang kita harap ada komunikasi dua hala yang lebih cergas, baik dan bermanfaat,” katanya ketika ditemui media selepas program Sembang Santai Komuniti Madani di sini, semalam.

Dalam majlis berkenaan, beliau turut menyampaikan Watikah Rasmi Penubuhan Komuniti Madani bagi kawasan Parlimen Putatan kepada sembilan Pengerusi Komuniti Madani.

Sementara itu, mengulas mengenai penyasaran subsidi diesel, Fahmi memaklumkan dalam Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0, telah ditetapkan 23 kategori kenderaan yang layak menerima bantuan Fleet Card subsidi diesel pada harga RM2.15 seliter.

“Ini akan dapat membantu khususnya kenderaan yang mengangkut barang makanan, keperluan asas dan keperluan harian termasuk yang akan sampai ke Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Berdasarkan kajian dan pengamatan oleh pihak Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), kita percaya waktu ini harga barang di Sabah, Sarawak dan Labuan tidak akan terkesan.

“Sekiranya ada kelihatan peningkatan mendadak terhadap harga barang, tolong maklumkan kepada pihak KPDN agar tindakan penguatkuasaan boleh diambil segera,” katanya.

Selain itu, Fahmi turut memaklumkan beberapa syarikat yang ditugaskan untuk membina menara telekomunikasi berjaya menyiapkan jumlah melebihi sasaran yang ditetapkan dalam tempoh yang singkat.

“Kita akan terus memantau proses penyiapan menara-menara tersebut dan kita ingin segera menyelesaikan masalah internet yang dihadapi termasuk penduduk di negeri Sabah,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular