HomeUtamaIsu gangguan bekalan air di sekitar KK disyaki ada unsur sabotaj -...

Isu gangguan bekalan air di sekitar KK disyaki ada unsur sabotaj – Shahelmey

Read Time:1 Minute, 55 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

PUTATAN: Isu gangguan bekalan air yang sering melanda di sekitar Kota Kinabalu disyaki ada unsur sabotaj oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata pelbagai cabaran ditempuh dalam mengurus masalah bekalan air ini, namun apa yang lebih mendukacitakan ada pihak yang cuba mensabotajkan segala usaha kerajaan ini.

“Kita dalam mengurus masalah ataupun cabaran bekalan air di Kota Kinabalu atau kawasan-kawasan sekitar Tuaran, Penampang, Putatan dan Papar memang berdepan dengan masalah bekalan air namun demikian pihak Jabatan Air telah berusaha sejak pertengahan tahun lepas sehinggalah sekarang untuk menstabilkan tekanan bekalan air di kawasan-kawasan yang terlibat.

“Apa yang menjadi cabaran kita selain daripada keadaan paip pecah dan juga kecurian, sambungan haram yang agak begitu tinggi terutama di kawasan Sepanggar, yang lebih mendukacitakan kita kebelakangan ini ada unsur-unsur yang kita mengesyaki ada unsur sabotaj.

“Mengapa saya katakan kita mengesyaki ada unsur sabotaj kerana ada beberapa valve (injap) kita ditutup dan ini bukan satu perkara yang orang kata boleh dilakukan oleh orang-orang awam. Jadi kita mengambil serius perkara ini, jadi saya telah mengarahkan agar siasatan dilakukan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Kempen Membasmi Infestasi Tikus Daerah Putatan Sempena Kempen Kesihatan Persekitaran Tahun 2024 di Pasar Awam Sementara Putatan di sini, hari ini.

Menurut Shahelmey, pada minggu lepas ada satu laporan polis telah dibuat apabila Taman Sempelang dan Tanjung Aru terputus bekalan air untuk beberapa hari dan pihaknya mendapati bahawa ada valve yang telah ditutup.

“Jadi perkara itu menimbulkan tanda tanya kepada kita sama ada ianya berunsur sabotaj atau sebaliknya,” katanya.

Terdahulu, Shahelmey bertemu dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan beliau turut memberikan penerangan mengenai situasi bekalan air semasa kepada mereka.

Ini berikutan satu gerakan Suara Mahasiswa dari UMS akan mengadakan perhimpunan #KamiMahuAir Sabah untuk menyampaikan memorandum kepada Ketua Menteri Sabah di Menara Kinabalu petang ini.

“Kelmarin, saya sempat berjumpa dengan MPP daripada UMS dan kita telah memberi penerangan tentang situasi air semasa UMS dan mereka dapat gambaran yang sebenar, jadi pada petang ini pula ianya digerakkan satu kumpulan Suara Mahasiswa,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan gerakan tersebut bermotifkan politik.

“Kalau dilihat daripada komen-komen sebelum ini ianya seakan ada bermotifkan politik jadi kita tunggu apa memorandum gerakan mereka pada petang ini,” ujarnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Gagasan Rakyat Likas jadi rakan strategik DBKK bagi penduduk di DUN...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular