HomeUtamaLebih 1.8 juta umat Islam seluruh dunia tunai ibadat haji tahun ini

Lebih 1.8 juta umat Islam seluruh dunia tunai ibadat haji tahun ini

Read Time:1 Minute, 2 Second

BERNAMA

Makkah : Sebanyak 1,833,164 umat Islam dari seluruh dunia menunaikan ibadat haji tahun ini, menurut Pihak Berkuasa Am bagi Statistik Arab Saudi.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkenaan kepada media di sini, daripada jumlah itu sebanyak 958,137 jemaah terdiri daripada lelaki manakala 875,027 adalah jemaah wanita.

Pihak berkuasa berkenaan memaklumkan jumlah jemaah haji luar ialah sebanyak 1,611,310 manakala jemaah tempatan 221,854 orang.

“Peratusan jemaah haji dari Asia tidak termasuk negara Arab mewakili 63.3 peratus, negara Arab (22.3 peratus), negara Afrika (11.3 peratus), dan Eropah, Amerika Utara dan Selatan serta Australia (3.2 peratus),” menurut pihak berkuasa itu.

Statistik itu menunjukkan jumlah ketibaan jemaah haji tertinggi adalah melalui lapangan terbang dengan 1,546,345 orang diikuti darat (60,251) dan pelabuhan (4,714).

Dalam pada itu, jumlah jemaah haji yang mendapat manfaat daripada Inisiatif Laluan Makkah pada musim haji tahun ini ialah sebanyak 322,901 orang.

Sementara itu, pihak berkuasa berkenaan juga menyatakan antara objektif pengumpulan data terperinci ini adalah bagi menyokong pembuat keputusan dalam mempertingkatkan perkhidmatan yang ditawarkan kepada jemaah haji.

“Statistik ini menyumbang kepada penilaian perkhidmatan disediakan oleh entiti yang bertanggungjawab untuk memberi khidmat kepada jemaah haji,” menurut pihak berkuasa itu. – BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

51 rumah setinggan dirobohkan, 6 PTI ditangkap

Buaya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular