HomePendapatDilema Pendidikan :- Sama Ada Bahasa Melayu atau Inggeris, Pendidikan Sains Dan...

Dilema Pendidikan :- Sama Ada Bahasa Melayu atau Inggeris, Pendidikan Sains Dan Matematik Harus Diperkasakan

Read Time:7 Minute, 38 Second

oleh Wan Azrain Adnan

1.        Nampaknya perbahasan mengenai penguasaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris oleh pelajar sekolah terus berpanjangan tanpa penyelesaian. Ini merupakan dilema sistem pendidikan negara yang sudah menimbulkan kegusaran kepada para pelajar, ibu-bapa, guru dan semua pihak berkepentingan untuk puluhan tahun.     

2.        Baru-baru ini, sekumpulan sebelas Lembaga Sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina di Pulau Pinang telah menyuarakan bantahan terhadap pelaksanaan dasar baru Program Dwibahasa/ Dual Language Program (DLP) bagi pengajaran Sains dan Matematik oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

3.        Bantahan itu menyatakan bahawa hampir semua ibu-bapa di sekolah-sekolah berkenaan menentang dasar baru itu, dan enggan membenarkan para pelajar menyertai kelas Sains dan Matematik yang tidak menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.

4.        Menurut Menteri Pendidikan Malaysia, berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bilangan 5 Tahun 2024: Garis Panduan Pelaksanaan Dual Language Programme Tahun 2024 bertarikh 19 Mac 2024, sekolah yang melaksanakan DLP perlu memastikan terdapat sekurang-kurangnya satu kelas di setiap Tahun/ Tingkatan menggunakan Bahasa Melayu atau bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar untuk pembelajaran Sains dan Matematik.

5.        Beliau turut memaklumkan bahawa dasar baru DLP ini dapat memberi peluang kepada pelajar memohon untuk belajar Sains dan Matematik di dalam Bahasa Melayu atau bahasa ibunda masing-masing. Ini bermakna, menerusi dasar baru DLP, pelajar tidak ‘dipaksa’ untuk belajar Sains dan Matematik menggunakan Bahasa Inggeris.

6.        Untuk menghadkan gangguan pembelajaran pelajar, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melaksanakan dasar baru DLP ini bermula dengan Tahun 1 dan Tingkatan 1 bagi sesi persekolahan tahun 2024/ 2025.

7.        Sebenarnya, pada November 2023, semasa Sesi Persidangan Dewan Rakyat, Menteri Pendidikan Malaysia telah pun mengumumkan dasar baru DLP berkenaan. Menurut beliau, keputusan tersebut adalah komitmen Kerajaan Malaysia untuk memperkasa penguasaan Bahasa Melayu para pelajar.

8.        Fakta menarik: DLP adalah salah satu program di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia & Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Ianya bertujuan untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah, menerusi pembelajaran Sains dan Matematik menggunakan Bahasa Inggeris.

9.        Bermula tahun 2016, KPM telah melaksanakan DLP melibatkan sekitar 300 buah sekolah. Pada awal tahun 2024, Menteri Pendidikan Malaysia telah memaklumkan lebih 2,500 buah sekolah terpilih melaksanakan DLP di seluruh negara.

10.      Dalam tempoh masa 8 tahun (2016 – 2024), jumlah sekolah yang melaksanakan DLP telah meningkatkan lebih 600%: 337 (2016), 1,190 (2017) 1,342 (2018), 1,357 (2019), 2,259 (2020), 2,298 (2021), 2,366 (2022), 2,501 (2024).

11.      Walaupun jumlah sekolah melaksanakan DLP telah meningkat berlipat kali ganda, jumlah ini masih kecil memandangkan terdapat lebih 10,000 buah sekolah di seluruh negara. Ini bermakna majoriti pelajar masih mengikuti pembelajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Melayu.

12.      Kemelut penguasaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris tercetus akibat kesukaran untuk mengimbangi kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu serta perdagangan utama dunia. Realitinya, ramai rakyat Malaysia tidak fasih berbahasa Melayu, dan ramai juga rakyat Malaysia yang tidak boleh menguasai Bahasa Inggeris.

13.      Menyedari kepentingan Bahasa Inggeris di dalam agenda pembangunan sosio-ekonomi negara, Kerajaan Malaysia telah memperkenalkan pelbagai dasar dan inisiatif untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan para pelajar. Malangnya, dasar berkenaan berubah-ubah akibat tentangan dan desakan pihak-pihak berkepentingan. Akhirnya, dasar kerajaan yang ‘flip-flop’ telah menimbulkan kesulitan dan kemudaratan kepada para pelajar dan negara.

14.      Sebagai contoh. Pada tahun 2003, Kerajaan Malaysia telah melaksanakan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah. Tetapi dasar ini telah di hapuskan sepenuhnya pada tahun 2012. Dan pada tahun 2016, Program Dwibahasa/ Dual Language Program (DLP) telah mula di laksanakan. Kini, dasar baru DLP pula di wajibkan ke atas sekolah-sekolah yang terlibat.

15.      Berdasarkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mata pelajaran Bahasa Inggeris telah mencatatkan prestasi pencapaian yang amat memberangsangkan. Dalam tempoh masa 7 tahun (2017 – 2023):

  • Gred Cemerlang: peratusan pelajar mencapai gred cemerlang telah menunjukkan trend meningkat, dari 16.5% kepada 27.2%
  • Gred Gagal: peratusan pelajar gagal pula telah menurun hampir 50%, dari 20.1% kepada 11.2%
    TahunBahasa MelayuBahasa Inggeris
Gred: Cemerlang (%) (A+, A, A-)Gred: (%) GagalGred: Cemerlang (%) (A+, A, A-)Gred: (%) Gagal
202332.72.527.211.2
202231.92.624.814.3
202130.63.222.313.9
202030.46.116.219.9
201932.95.916.019.5
201831.96.614.420.6
201732.86.516.520.1

16.      Dalam tempoh masa yang sama, prestasi pencapaian Bahasa Melayu kekal baik, di mana peratusan gred cemerlang berada sekitar 30%, manakala peratusan gred gagal terus mengecil kepada 2.5% sahaja.

17.      Walaupun peratusan pelajar gagal Bahasa Inggeris masih tinggi, melibatkan sekitar 40,000 pelajar untuk SPM 2023, trend menurun membuktikan pelaksanaan dasar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris para pelajar telah menghasilkan kejayaan yang membanggakan.

18.      Maka, berdasarkan prestasi pencapaian Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkenaan tidak mendesak sebarang perubahan dasar DLP sediada. KPM sewajarnya konsisten dengan dasar DLP sediada untuk terus menghasilkan kejayaan yang di impikan.

19.      Pada masa yang sama, KPM sewajarnya meningkatkan usaha agar lebih banyak sekolah di seluruh negara dapat melaksanakan DLP untuk manfaat para pelajar. Sebagai contoh. Menurut data KPM, daripada sejumlah sekitar 1,300 buah sekolah di Sabah, tidak sampai 10% sekolah yang melaksanakan DLP. Ketiadaan DLP merugikan para pelajar serta menidakkan peluang mereka.

20.      Sebaliknya, mata pelajaran Sains dan Matematik pula telah mencatatkan prestasi pencapaian yang berbeza. Kedua-dua mata pelajaran berkenaan telah mencatatkan peratusan pelajar gagal dengan trend yang meningkat, terutamanya Matematik, di mana jumlah pelajar gagal telah meningkat dengan ketara dari 17.6% kepada 23.2%. Ini merupakan peningkatan besar sebanyak 32% dalam tempoh masa 7 tahun.

    TahunSainsMatematik
Gred: Cemerlang (%) (A+, A, A-)Gred: (%) GagalGred: Cemerlang (%) (A+, A, A-)Gred: (%) Gagal
202323.59.132.723.2
202220.510.030.824.3
202120.110.429.425.5
202019.58.232.417.4
201920.610.131.218.6
201821.68.931.218.0
201721.07.831.517.6

21.      Berdasarkan data sediada, rumusan ringkas yang boleh di buat ialah, ketika semakin ramai pelajar telah berjaya meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris, semakin ramai pula pelajar yang telah gagal Matematik.

22.      Agak ironik kedua-dua matapelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik telah menghasilkan pencapaian yang bertentangan. Punca hubungan bertentangan/ inverse relationship ini tidak di ketahui tanpa data yang menyeluruh. Mungkin jawapan mudahnya ialah pelajar memang tidak berminat dengan Matematik.

23.      Hakikatnya, di dalam keghairahan untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan para pelajar menerusi Program Dwibahasa/ Dual Language Program (DLP), semakin ramai pelajar yang telah mencapai kegagalan untuk Matematik. Malah, dalam tempoh masa 7 tahun itu (2017 – 2023), lebih 500,000 pelajar telah gagal SPM Matematik.

Tahun SPMJumlah Calon MatematikPeratusan Calon Gagal (%)Jumlah Calon Matematik Gagal
2023369,42523.285,707
2022369,34824.389,752
2021375,99725.595,879
2020378,15817.465,799
2019386,01018.671,798
2018388,74218.069,974
2017411,22117.672,375

24.      Kegagalan Matematik sudah pasti akan menghalang lepasan SPM untuk melanjutkan pengajian tinggi di dalam bidang sains dan teknologi terkini, antaranya: kejuruteraan, sains komputer, data sains, robotik dan Artificial Intelligence (AI). Malah, secara am-nya, kegagalan Matematik akan menyukarkan lepasan SPM untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam semua bidang pengajian.

25.      Sebagai contoh. Syarat untuk menyertai Program Asasi Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) merangkumi sekurang-kurangnya gred C untuk Matematik.  

    Sumber: Portal Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

                         Sumber: Portal Universiti Teknologi MARA (UITM)

26.      Oleh yang demikian, ketika ramai lantang bersuara mengenai penguasaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, sepatutnya ramai juga lantang bersuara untuk memperkasa penguasaan Matematik oleh para pelajar. Tetapi, taktala prestasi pencapaian Matematik menuju ke tahap kritikal, suara Matematik sunyi sepi.

27.      Tanpa mengira bahasa pengantar, samada pembelajaran di dalam Bahasa Melayu ataupun Bahasa Inggeris, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mesti segera memperkasa mata pelajaran Matematik yang merupakan ‘bahasa’ sains dan teknologi.

28.      Justeru itu, dilema pendidikan negara mestilah di tangani dengan pelaksanaan dasar pendidikan yang jelas dan konsisten, tanpa perubahan yang besar dan kerap. Dasar berkenaan seharusnya dinamik untuk mengimbangi peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan negara; kepentingan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu, perdagangan dan diplomasi utama dunia; serta Matematik sebagai ‘bahasa’ sains dan teknologi.

29.      Konsisten kunci kejayaan.

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Implikasi dan Cabaran Malaysia Sebagai Pasaran Pusat Data Ketiga Terbesar Asia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular