BEAUFORT: Seorang penduduk telah menemui sebiji bom lama dipercayai peninggalan Perang Dunia Kedua jenis Artillery Shell 105mm di Kampung Batu 61, Monternior, dekat sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Ismail Abdullah ketika dihubungi hari ini mengesahkan penemuan bom lama tersebut.
Menurutnya, kira-kira jam 10.40 pagi tadi (21 Jun) seorang pengadu wanita berusia 57 tahun telah memaklumkan penemuan bom itu di Kg Batu 61, Monternior, beaufort.
“Pada 6 Mei lalu, adik lelaki pengadu telah menggunakan jentera Hitachi mengorek tanah untuk membuat jalan berdekatan dengan rumah pengadu di kampung tersebut.
“Lebih kurang tempoh sebulan, tanah tersebut telah terhakis oleh hujan dan pada 17 Jun lalu, pengadu telah ternampak sebuah objek besi yang mencurigakan tetapi tidak mengesyaki apa-apa yang pelik.
“Hari ini (21 Jun), jam lebih kurang 10.00 pagi, pengadu sekali lagi pergi lihat objek itu dan objek itu kelihatan jelas dan pengadu mengesyaki ianya adalah sebuah bom lama dan laporan dibuat untuk tindakan pihak Polis,” katanya.
Susulan dengan maklumat itu, Ismail bersama Anggota Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Daerah (IPD) Beaufort telah ke lokasi kejadian untuk tinjauan awal dan kawalan keselamatan.
“Pihak polis telah memasang tali kuning dan menempatkan anggota untuk kawalan keselamatan sementara menunggu pasukan Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah,” katanya.
Ismail berkata, bom lama tersebut dipercayai peninggalan perang dunia kedua jenis Artillery Shell 105mm. Panjang 17 inci dengan ukurlilit 12 inci. Anggaran berat 11 kilogram.
“Kerja-kerja pemusnahan bom lama tersebut telah selesai dijalankan pada jam 5.20 petang tadi dengan jayanya oleh Unit Pemusnah Bom IPK Sabah dengan dibantu oleh Unit Pemusnah Bom IPD Beaufort,” katanya.