Putatan : Bekalan air ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini berada dalam keadaan stabil selepas beberapa siri operasi pemotongan sambungan paip haram sekitar universiti itu yang terbongkar sejak beberapa minggu lalu.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, meskipun mengakui terdapat penyambungan semula selepas operasi namun pihaknya melalui Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) akan terus melakukan pemantauan.
“Berdasarkan pemotongan haram yang begitu giat kita lakukan, kapasiti air yang masuk ke UMS mengikut rekod harian kita berada dalam keadaan stabil.
“Namun sebagaimana kita lalui sebelum ini apabila dipotong akan ada sambungan semula, jadi kita akan membuat pemantauan berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutupan karnival usahawan madani peringkat daerah Putatan di sini semalam bagi mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajij Noor.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya berkata, JANS telah menempatkan tangki statik di empat kawasan setinggan sekitar Sepanggar bagi penduduk mendapatkan air.
Katanya, langkah itu juga adalah bagi mengelakkan sambungan haram berleluasa sehingga menjejaskan transmisi tangki utama JANS.
Dalam pada itu, Shahelmey berkata, Kerajaan negeri sedang memperincikan sistem meter air prabayar untuk membekalkan air kepada penempatan setinggan bagi menangani kecurian air yang berleluasa di negeri ini.
Katanya, sistem berkenaan sedang dimuktamadkan dan dijadualkan akan dilaksanakan tahun ini.
Menurutnya, pendekatan itu diambil bagi mengatasi masalah kecurian bekalan air yang telah berlarutan sejak sekian lama. – SABAH MEDIA