HomeIsu tempatanPPK Putatan bangunkan tapak perniagaan ahli Peladang di Pantai Tanjung Aru

PPK Putatan bangunkan tapak perniagaan ahli Peladang di Pantai Tanjung Aru

Read Time:2 Minute, 1 Second

PUTATAN: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Putatan diberi kelulusan untuk membangun dan mentadbir urus satu kawasan seluas 1.46 ekar sebagai lokasi perniagaan berasaskan makanan di Pantai Tanjung Aru, Kota Kinabalu.

Pengerusi PPK Putatan, Datuk Seri Dr. Arsit Sedi, berkata kelulusan yang diberikan Tanjung Aru Eco Development (TAED) Sdn. Bhd itu bakal membuka peluang kepada ahli PPK untuk berniaga di lokasi yang menjadi tumpuan pelancong itu.

Katanya, PPK Putatan akan menyediakan fasiliti untuk kemudahan peniaga dan keselesaan pengunjung di tapak baharu itu yang terletak di Pantai Tanjung Aru Dua.

“PPK Putatan diberi tapak bagi membuka tempat berniaga untuk ahli-ahli Peladang di Pantai Tanjung Aru Dua. Kita sudah hantar cadangan kepada TAED untuk pertimbangan Pengerusinya, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

“Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor juga bersetuju supaya PPK Putatan diberi kelulusan untuk membangunkan kawasan Pantai Tanjung Aru Dua itu.

“Fokus kita ialah perniagaan makanan atau restoran dan kraftangan, selain tempat untuk pelancong menikmati pemandangan matahari terbenam seperti yang menjadi tarikan Pantai Tanjung Aru,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PPK Putatan Kali Kesembilan Tahun 2024 yang disempurnakan Timbalan Ketua Menteri, Ir Shahelmey Yahya.

Selain di Pantai Tanjung Aru, Arsit berkata PPK Putatan juga akan membuka dan mengurus tadbir Peladang Outlet di Kampung Meruntum, di sini yang bakal dijadikan tempat untuk memasarkan hasil pertanian dari seluruh Sabah.

Katanya, pembinaan kemudahan itu mendapat kelulusan peruntukan sebanyak RM500,000 daripada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan ia akan dimulakan selepas PPK Putatan mendapat kelulusan pelan pembangunan daripada Majlis Daerah Putatan.

Pada masa yang sama, katanya PPK Putatan turut mendapat satu lagi tapak untuk dibangunkan sebagai lokasi perniagaan ahli Peladang, iaitu di Aeropod Tanjung Aru.

“Ini sama seperti di Pantai Tanjung Aru, kita akan membangunkan tapak untuk ahli Peladang berniaga di bawah urus tadbir PPK Putatan.

“Semua kemudahan yang disediakan melalui PPK ini adalah untuk manfaat ahli Peladang. Keuntungannya nanti bakal dinikmati ahli Peladang sendiri.

“Sehubungan itu, PPK Putatan menggalakkan ahli kita untuk memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan ini dan mengambil peluang program-program lain yang diwujudkan bagi memperkasa ahli Peladang,” katanya.

Sementara itu, Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan berharap menerusi perkembangan terbaharu PPK Putatan itu, ia dapat membantu pembangunan ekonomi di kawasan parlimen berkenaan.

“Saya berharap dengan kawasan yang telah diberikan oleh Kerajaan Negeri Sabah kepada PPK Putatan, pembangunan sosio ekonomi dapat diwujudkan seperti peluang pekerjaan dan perniagaan yang secara tidak langsung dapat menyumbang peningkatan ekonomi di Daerah Putatan ini,” katanya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Program Rakan BORNEENSIS 2024 pupuk kelestarian alam semula jadi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular