HomeSukanPiala FA : Cabaran Sabah FC berakhir, TFC layak ke separuh akhir

Piala FA : Cabaran Sabah FC berakhir, TFC layak ke separuh akhir

Read Time:1 Minute, 14 Second

Kota Kinabalu : Cabaran Sabah FC berakhir selepas Terengganu FC (TFC) berjaya menempah tiket ke separuh akhir Piala FA menerusi agregat 7-0 sejurus tamat perlawanan kedua suku akhir di Stadium Likas di sini malam ini.

TFC jelas tidak goyah untuk bertandang di Likas apabila membawa bekalan jaringan yang selesa dengan kemenangan besar 4-0 pada aksi pertama di Kuala Terengganu minggu lalu.

Kehadiran 3,834 penonton tuan rumah untuk melihat Sabah FC memperoleh gol awal tidak kesampaian apabila pasukan bimbingan Tomislav Steinbrucker itu mengecewakan Sabah apabila mendapat gol pertama menerusi Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-10 permainan.

Jaringan itu sekaligus memusnahkan harapan skuad Badak untuk mendahului jaringan bagi menyuntik semangat mereka dalam suku akhir kedua ini.

Tersentak dengan gol TFC, Sabah berusaha untuk mengubah kedudukan menerusi beberapa cubaan namun serangan yang agak tumpul selain mudah dipatahkan pasukan lawan menggagalkan misi skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu.

Pasukan pelawat terus melebarkan lagi agregat kemenangan apabila Muhammad Akhyar Abdul Rashid menjaringkan gol kedua pasukannya pada minit ke-42 sekali gus mendahului perlawanan dengan 2-0 pada separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Sabah terus cuba untuk merapatkan kedudukan menerusi percubaan Stuart John Wilkin pada minit ke-51 bagaimanapun rembatannya melewati palang pasukan pelawat.

TFC terus mengecewakan Sabah apabila pemain import Marin Pilj menambah lagi gol ketiga menerusi sepakan percuma seterusnya menewaskan Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-88 menjadikan kedudukan berubah 3-0.

Keputusan 3-0  itu kekal sehingga tamat perlawanan. – SABAH MEDIA / FOTO MFL

RELATED ARTICLES
Luar negaraSukan

Sepanyol dinobat juara Euro kali keempat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular