HomeIsu tempatanUMS bawa delegasi antarabangsa lawat kawasan terkesan bencana

UMS bawa delegasi antarabangsa lawat kawasan terkesan bencana

Read Time:1 Minute, 29 Second

Kota Kinabalu : Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC) Universiti Malaysia Sabah (UMS) membawa seramai 37 delegasi antarabangsa melawat kawasan terkesan bencana di sekitar Kundasang, Ranau dalam Program Lawatan Akademik Bencana, baru-baru ini.

Delegasi antarabangsa dari tujuh negara iaitu Jepun, Korea, China, India, Singapura, Filipina dan Indonesia berkesempatan melawat kawasan yang terkesan dengan tanah runtuh dan gempa bumi.

Menurut Pengarah NDRC UMS, Profesor Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn M. Payus, lawatan tersebut penting sebagai pendedahan yang jelas mengenai bencana yang pernah berlaku di Malaysia khususnya di Sabah.

“Pada lawatan ini, delegasi diberikan penjelasan yang lebih bersifat akademik terhadap analisis punca atau sebab kejadian bencana yang telah berlaku serta impak bencana di kawasan tersebut.

“Dalam lawatan ini juga, delegasi turut mengunjungi Sungai Mesilou dan Mesilou Nature Resort (MNR) Sub-Station Taman Kinabalu yang terkesan akibat banjir lumpur susulan kejadian gempa bumi bermagnitud 6.0 yang berpusat di Gunung Kinabalu pada tahun 2015,” katanya.

Program lawatan tersebut diadakan sebagai salah satu aktiviti dalam persidangan antarabangsa ISEE-AWPC & ISES-AC Joint Conference 2024 yang dianjurkan oleh Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS.

Pada seminar antarabangsa yang sama, NDRC telah menganjurkan Pre-Conference Workshop yang bertemakan ‘Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana’ dengan pengisian sesi bengkel mengenai Analisis Data Perubahan Iklim serta Kualiti Udara, Analisis Peta Bahaya Seismik serta Kerosakan Struktur Bangunan dan Analisis Permodelan Atmosfera.

Tambah Carolyn, NDRC UMS menyediakan lawatan tersebut yang bersifat berkala dan boleh disertai oleh ahli akademik, agensi kerajaan dan swasta serta orang awam yang berminat.

“Lawatan akademik bencana kali ini diketuai oleh Ketua Kluster Bencana Gempa Bumi NDRC, Ir. Ts. Dr. Noor Sheena Herayani Harith dan dibantu oleh Pegawai Penyelidik NDRC, Eldawaty Madran, serta dikendalikan bersama dengan pelajar Latihan Industri daripada Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Mohd Khairi Anuar dan Mayzatul Sofiyah Mad Yusof,” katanya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Penduduk Pulau Omadal berterima kasih atas keprihatinan SESB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular