HomeUtama28,940 syarikat berdaftar akan laksana e-Invois HASiL di Sabah

28,940 syarikat berdaftar akan laksana e-Invois HASiL di Sabah

Read Time:1 Minute, 22 Second

Kota Kinabalu : Sejumlah 28,940 syarikat berdaftar di negeri ini akan melaksanakan sistem e-Invois yang bertujuan bagi memperkukuhkan lagi sistem percukaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL), Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, bagi fasa pertama terdapat sebanyak 260 buah syarikat berdaftar di negeri ini.

“Fasa tersebut adalah bermula pada 1 Ogos lalu iaitu pelaksanaan mandatori bagi perniagaan yang mencapai nilai ambang jualan RM100 juta setahun.

“Manakala, fasa kedua pula pada 1 Januari 2025 melibatkan 680 syarikat berdaftar dengan pendapatan atau jualan tahunan RM25 juta sehingga RM100 juta.

“Bagi fasa ketiga, terdapat 26,800 syarikat berdaftar di Sabah terlibat dan terdapat dua pilihan mekanisme penghantaran e-Invois yang boleh dipilih oleh pembayar cukai sama ada melalui Portal MyInvois atau Application Programming Interface (API),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, di sini semalam.

Abu berkata, statistik e-Invois yang berjaya diterima HASiL sehingga 6 Ogos 2024 di seluruh negara adalah sebanyak dua juta transaksi melibatkan 2,500 pembayar cukai dan daripada jumlah tersebut, Sabah merekodkan 18,000 transaksi.

“Sebagai usaha membantu pembayar cukai untuk melaksanakan e-Invois secara menyeluruh, HASiL akan memastikan sesi libat urus dan seminar bersama pembayar cukai dilaksanakan secara aktif dalam tempoh ini.

“Kita juga akan mengadakan taklimat melibatkan lebih seribu peniaga untuk menerangkan inisiatif e-Invois demi meningkatkan pematuhan dan mengurangkan ketirisan cukai,” katanya.

Abu turut memaklumkan secara keseluruhannya, bilangan pembayar cukai yang telah mengakses ke Portal MyInvois setakat ini adalah sebanyak 47,600.

Turut hadir, Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) Sabah, Azrul Hisham Shamsudin dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian), Shaharrudy Othman.

RELATED ARTICLES
Utama

518 kes pokok tumbang berlaku di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular