HomeUtamaPM Mahu Langkah Reformasi Pentadbiran Awam Dilaksanakan Segera

PM Mahu Langkah Reformasi Pentadbiran Awam Dilaksanakan Segera

Read Time:1 Minute, 39 Second

PUTRAJAYA, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan supaya langkah-langkah reformasi dalam pentadbiran awam dilaksanakan segera.

“Saudara boleh jangkakan bulan September ini bulan pergerakan reform yang lebih pesat.

“Saya akan mengadakan perbincangan dengan KSN (Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar) dan KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz), apa langkah-langkah yang perlu diambil untuk perbaiki prestasi yang dianggap sudah baik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis perjumpaan bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana  Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, serta Shamsul Azri dan Wan Ahmad Dahlan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyentuh beberapa aspek perkhidmatan awam yang beliau lihat masih kurang memuaskan dan mahu semua pihak segera melaksanakan perubahan ke arah kebaikan.

“Penggabungan agensi dan jabatan itu belum berlaku dengan memuaskan, pertindihan perjawatan yang kadang-kadang kurang perlu itu masih belum ditingkatkan.

“Laporan dari ketua jabatan, ketua pengarah dan ketua unit tentang kelembapan, kecuaian  beberapa pegawai itu belum ke tahap memuaskan. Semua ini perlu kita lakukan anjakan sebaiknya,” katanya.

Beliau menegaskan selain tumpuan kepada aspek tatakelola dan pertumbuhan ekonomi, kerangka Kerajaan MADANI turut fokus kepada keselesaan rakyat, justeru langkah reformasi perkhidmatan awam perlu dicapai dengan kaedah atau prosedur yang bersesuaian dengan peredaran zaman.

“…saya selalu anggap bahawa tahap kecepatan, kepantasan lakukan perubahan itu harus setimpal dengan tuntutan zaman dan masa. (Mungkin) ada beberapa peraturan biasa yang dijalankan puluhan tahun, yang baik, kita teruskan, tapi ada yang perlu kita ubahsuaikan tumpuan dan keutamaannya,” kata Anwar.

Perdana Menteri seterusnya mengajak warga penjawat awam untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada  Shamsul Azri, sama seperti yang diberikan kepada mantan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

“..saya percaya beliau akan bekerja sebagai satu pasukan bersama rakan-rakan penjawat awam, naikkan prestasi kita dan penuhi harapan semua,” katanya.

— BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

Graduan diminta kembali sumbang bakti kepada masyarakat – Ellron

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular