HomeUtamaProgram kemampanan komuniti bandar pastikan kebersihan di tahap tinggi

Program kemampanan komuniti bandar pastikan kebersihan di tahap tinggi

Read Time:1 Minute, 49 Second

Kota Kinabalu : Program Kemampanan Komuniti Bandar – Komuniti Sejahtera : CyCLEAN (Cycling and Clean) 2024 dapat memastikan kebersihan di kawasan bandar berada di tahap tinggi. 

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah berkata, program kerjasama antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu melibatkan komuniti terutama sekali yang tinggal di kawasan berhampiran. 

“Pada hari ini, seramai 520 orang peserta terdiri daripada masyarakat setempat mengambil bahagian dalam acara berbasikal ke Tanjung Aru dan juga acara gotong royong di sekitar kawasan ini. 

“Program ini adalah bagi memastikan kebersihan di kawasan ini sentiasa berada di tahap yang tinggi terutama sekali yang melibatkan binatang-binatang seperti tikus, lipas dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sebelum pelepasan peserta berbasikal bagi program berkenaan di Padang Merdeka di sini, semalam.

Sabin berkata, ia juga dapat untuk memastikan parit-parit dan longkang yang berada di sekitar sentiasa berada di dalam keadaan yang baik dan ianya juga selaras dengan salah satu inisiatif di bawah 17 Sustainable Development Goals. 

“Selain memastikan kebersihan kawasan bandar, ianya juga dapat mengeratkan lagi hubungan di antara jabatan-jabatan kerajaan seperti DBKK dan agensi persekutuan dengan masyarakat di sini. 

“Pihak DBKK berasa bangga dengan kerjasama yang diberikan oleh rakyat tempatan kerana mereka menyokong usaha-usaha untuk memastikan tahap kebersihan di bandar ini dan juga di pesisiran pantai meningkat dan sememangnya ada peningkatan terutama sekali di kawasan darat dan bandar,” katanya

Sementara itu, bercakap mengenai perkembangan kempen Pengurangan Beg Plastik yang dilaksanakan oleh DBKK pada 1 Ogos lepas, Sabin berkata setakat ini penerimaan dalam kalangan masyarakat adalah baik. 

“Selepas hampir dua bulan dilaksanakan, penerimaan adalah baik walaupun terdapat sedikit ketidakselesaan dalam kalangan pembeli-pembeli yang mungkin terlupa membawa beg semasa mereka datang membeli barang-barang di kedai-kedai ataupun di pasaraya kecil. 

“Namun dengan masa saya melihat kerjasama dan tahap penerimaan mereka bertambah baik dan ini sememangnya satu perjalanan yang saya yakin dalam tempoh setahun dua ianya akan lebih berjaya,” katanya. 

Selain acara utama iaitu acara berbasikal santai sepanjang 11 kilometer sambil memungut sampah, turut diadakan pameran keselamatan, kesihatan dan alam sekitar, Jualan Rahmah dan pertandingan mewarna kanak-kanak serta warga emas.

RELATED ARTICLES
Utama

13 barangan di bawah SHMMP di Labuan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular