Tuaran : Sebanyak RM35,000 sumbangan berjaya dikumpul melalui Kejohanan Golf Amal Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Seri Rosli Isa berkata, jumlah tersebut meningkat sebanyak RM5,000 berbanding tahun lalu dan berharap agar semua yang terlibat sentiasa menjaga hubungan baik agar objektif penganjuran tercapai.
“Pada tahun ini, Jawatankuasa Pelaksana Kejohanan Golf Amal berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM35,000 mengatasi kutipan tahun lalu dengan jumlah terkumpul sebanyak RM30,000.
“Kesemua ini kita akan sumbangkan kepada Yayasan Nur Jauhar (YNJ) selaras dengan objektif kita menjaga hubungan baik yang sedia terjalin agar terus dikekalkan demi kemajuan dan kemakmuran negeri Sabah,” katanya ketika berucap dalam kejohanan tersebut, di sini semalam.
Seramai 117 peserta menyertai Kejohanan tersebut terdiri daripada penjawat awam persekutuan dan negeri, Badan-Badan Berkanun serta ahli-ahli korporat.
Pertandingan Kategori A, tempat pertama dimenangi oleh Sainuddin Dullah yang turut menjadi pemenang novelties seterusnya dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan manakala Juntha Shamsuddin dan Christopher James masing-masing menjadi pemenang tempat kedua dan ketiga.
Bagi Kategori B, Md Said Ag Damit mendapat tempat pertama diikuti oleh Jaffre Dangus di tempat kedua dan Datuk Salsidu Ibrahim ketiga.
Pemenang Kategori Novelties pula terdiri daripada Usman Suhud, Jordan Ting, Lucas Anyi Wan, Abdul Fatah Yazed, Sakka Nordin juga Sainuddin Dullah yang membolehkan mereka membawa pulang wang tunai dan hadiah iringan.
Turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri merangkap Pengerusi YNJ, Datuk Al Hambra Juhar; Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Jamili Nais; Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri Sabah, Datuk Mohd Sofian Alfian Nair serta Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.