Kota Kinabalu : Pelaksanaan Karnival Pendidikan Kerjaya (SUKSES) merupakan satu usaha terbaik bagi mendekati pelajar berkaitan serta menyebarluaskan maklumat terkini khususnya bagi lepasan menengah.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Raisin Saidin berkata, penganjuran program itu juga adalah selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kerangka Laluan Pendidikan Di Malaysia KPM bagi lepasan menengah dan tertiari.

“Menyedari kesukaran anak murid kini memperoleh maklumat terkini dan sahih mengenai peluang pengajian tinggi di pelbagai institusi dan peringkat pengajian (sijil, diploma dan ijazah pertama); satu konsep program `one stop center’ dilaksanakan untuk memperkasa dan menyebarluaskan maklumat pendidikan tinggi secara bersepadu.
“Penganjuran program SUKSES merupakan usaha secara kolaborasi pelbagai pemegang taruh bagi mendekati pelajar berkaitan serta menyebarluaskan maklumat terkini kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Pendidikan Kerjaua Murid 2024 di Politeknik Kota Kinabalu (PKK) di sini semalam.

Raisin berkata,kerjasama strategik antara Kementerian dan Universiti Awam (UA) perlu diperluaskan lagi bagi membentuk satu sinergi padu yang dapat mengoptimumkan kos.
Katanya, ia juga mampu menghasilkan impak yang tinggi dari keberhasilannya.
“Karnival Pendidikan Kerjaya (SUKSES) 2024 ini mungkin sukar dilaksanakan tanpa adanya lokasi yang strategik untuk dikunjungi oleh pelajar, ibu bapa, guru- guru dan masyarakat.
“Justeru, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan strategik yang menjadi tuan rumah bersama Karnival SUKSES 2024 dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah amat mengalu-alukan kerjasama strategik sebegini,” katanyam
Pada program itu, sebanyak 30 UA dan Universiti Swasta serta Sekolah Khusus terlibat sebagai Pempamer dalam Penganjuran Karnival SUKSES pada kali ini. – SABAH MEDIA / FOTO PKK